Sejarah Penulisan Ilmu Tajwid dan Qiraat [1]



ا سلام عليکم ورحمة الله وبرکاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Untuk entry kali ini, aNa akan post tentang sejarah penulisan ilmu tajwid. Ilmu tajwid ini sedikit sebanyak merupakan suatu ilmu yang penting bagi para pembaca al-Quran kerana meskipun ia sebuah fardhu kifayah dalam mempelajarinya, namun ia menjadi fardhu 'ain pabila mempraktikkannya di dalam pembacaan al-Quran.

Jika dibincangkan bilakah bermulanya ilmu Tajwid, maka kenyataan menunjukkan ilmu ini telah bermula sejak dari al-Quran itu diturunkan kepada Rasulullah SAW lagi. Ini kerana Rasulullah SAW sendiri diperintah untuk membaca al-Quran dengan tajwid dan tartil seperti yang disebut dalam ayat 4, surah al-Muzammil yang bermaksud "Bacalah al-Quran itu dengan tartil(bertajwid)." Kemudian baginda SAW telah mengajar ayat-ayat tersebut kepada para sahabat dengan bacaan yang serupa secara bertajwid juga.

Saidina Ali r.a apabila ditanya tentang apakah maksud bacaan al-Quran secara tartil itu, maka beliau menjawab:

"Ianya adalah mengelokkan sebutan pada setiap huruf dan berhenti pada tempat yang betul."

Ini menunjukkan bahawa pembacaan al-Quran bukanlah suatu ilmu hasil dari Ijtihad (fatwa) para ulama' yang diolah berdasarkan dalil-dalil dari al-Quran dan Sunnah, tetapi pembacaan al-Quran adalah suatu yang Taufiqi (diambil terus) melalui riwayat dari sumbernya yang asal iaitu sebutan dan bacaan Rasulullah SAW sendiri.

Para sahabat r.a pula adalah orang-orang yang amanah dalam mewariskan bacaan ini kepada generasi umat Islam selepasnya. Mereka tidak akan menambah atau mengurangkan apa yang telah mereka pelajari itu, kerana rasa takut mereka yang tinggi kepada Allah S.W.T dan begitulah juga generasi selepas mereka.

Walau bagaimanapun, apa yang boleh dikira sebagai penulisan ilmu Tajwid yang paling awal ialah apabila bermulanya kesedaran perlunya Mushaf Uthmaniah yang ditulis oleh Saidina Uthman itu diletakkan titik-titik kemudiannya baris-baris bagi setiap huruf dan perkataannya. Gerakan ini telah diketuai oleh Abu Aswad Ad-Duali dan Al-Khalil bin Ahmad Al-Farahidi, apabila pada masa itu Khalifah umat Islam memikul tugas untuk berbuat demikian ketika umat Islam mula melakukan kesalahan dalam bacaan.

Ini kerana semasa Saidina Uthman menyiapkan Mushaf al-Quran dalam enam atau tujuh buah itu, beliau telah membiarkannya tanpa titik-titik huruf dan baris-barisnya kerana memberi keluasan kepada para sahabat dan tabiien pada masa itu untuk membacanya sepertimana yang mereka telah ambil dari Rasulullah s.a.w sesuai dengan Lahjah (dialek) bangsa Arab yang berbagai-bagai pada masa itu.

Tetapi setelah berkembang luasnya agama Islam ke seluruh tanah Arab serta jatuhnya Rom dan Parsi ke tangan umat Islam pada tahun pertama dan kedua Hijrah, bahasa Arab mula bercampur dengan bahasa penduduk-penduduk yang ditakluki umat Islam. Ini telah menyebabkan berlakunya kesilapan dan kesalahan yang banyak dalam penggunaan bahasa Arab dan begitu juga pembacaan al-Quran. Maka al-Quran Mushaf Uthmaniah telah dinaiktarafkan dengan penambahan baris dan titik pada huruf-hurufnya bagi mengelakkan berlakunya kesilapan dalam pembacaannya.

Karangan ilmu Qiraat yang terawal setakat apa yang diketahui oleh para penyelidik ialah apa yang telah dihimpun oleh Abu 'Ubaid Al-Qasim Ibnu Salam dalam kitabnya "Al-Qiraat" pada kurun ke-3 Hijrah. Tetapi ada yang mengatakan apa yang telah disusun oleh Abu 'Umar Hafs Ad-Duri dalam ilmu Qiraat adalah lebih awal. Pada kurun ke-4 Hijrah pula, lahir Ibnu Mujahid Al-Baghdadi dengan karangannya "Kitabus Sab'ah", dimana beliau adalah orang yang mula-mula mengasingkan qiraat kepada tujuh imam bersesuaian dengan tujuh perbezaan dan Mushaf Uthmaniah yang berjumlah tujuh naskhah kesemuanya pada masa itu.

Bagi karangan ilmu Tajwid yang paling awal pula, barangkali tulisan Abu Mazahim Al-Haqani dalam bentuk Qasidah (puisi) ilmu Tajwid pada akhir kurun ke-3 Hijrah adalah yang terulung. Selepas itu lahirlah para ulama yang tampil memelihara kedua-dua ilmu ini dengan karangan-karangan mereka dari semasa ke semasa seperti Abu 'Amr Ad-Dani dengan kitabnya At-Taysir, Imam Asy-Syatibi Tahani dengan kitabnya "Hirzul Amani wa Wajhut Tahani" yang menjadi tunggak kepada karangan-karangan tokoh-tokoh lain yang sezaman dan yang selepas mereka. Tetapi apa yang jelas dari karangan-karangan mereka ialah ilmu Tajwid dan ilmu Qiraat sentiasa bergandingan, ditulis dalam satu kitab tanpa dipisahkan perbahasannya. Penulisan ini juga diajar kepada murid-murid mereka beserta praktikal bacaannya.

Kemudian lahir pula seorang tokoh yang amat penting dalam ilmu Tajwid dan Qiraat iaitu Imam (ulama) yang lebih terkenal dengan nama Ibnul Jazari dengan karangan beliau yang masyhur iaitu "An-Nasyr", "Toyyibatun Nasyr" dan "Ad-Durratul Mudhiyyah" yang mengatakan ilmu Qiraat adalah sepuluh sebagai pelengkap bagi apa yang telah dinaytakan Imam Asy-Syatibi dalam kitabnya "Hirzul Amani" sebagai Qiraat tujuh. Imam Al-Jazari juga telah mengarang karangan yang berasingan bagi ilmu Tajwid dalam kitabnya "At-Tamhid" dan puisi beliau yang lebih terkenal dengan nama "Matan Al-Jazariah". Imam Al-Jazari telah mewariskan karangan-karangannya yang begitu banyak berserta bacaannya sekali yang kemudiannya telah menjadi ikutan dan panduan bagi karangan-karangan ilmu Tajwid dan Qiraat serta bacaan al-Quran hingga ke hari ini.

~ to be continued.. syukran jazilan 'ala qiraah..
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 ~A Journal of Success~ |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.