Sejarah Penulisan Ilmu Tajwid dan Qiraat [1]



ا سلام عليکم ورحمة الله وبرکاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Untuk entry kali ini, aNa akan post tentang sejarah penulisan ilmu tajwid. Ilmu tajwid ini sedikit sebanyak merupakan suatu ilmu yang penting bagi para pembaca al-Quran kerana meskipun ia sebuah fardhu kifayah dalam mempelajarinya, namun ia menjadi fardhu 'ain pabila mempraktikkannya di dalam pembacaan al-Quran.

Jika dibincangkan bilakah bermulanya ilmu Tajwid, maka kenyataan menunjukkan ilmu ini telah bermula sejak dari al-Quran itu diturunkan kepada Rasulullah SAW lagi. Ini kerana Rasulullah SAW sendiri diperintah untuk membaca al-Quran dengan tajwid dan tartil seperti yang disebut dalam ayat 4, surah al-Muzammil yang bermaksud "Bacalah al-Quran itu dengan tartil(bertajwid)." Kemudian baginda SAW telah mengajar ayat-ayat tersebut kepada para sahabat dengan bacaan yang serupa secara bertajwid juga.

Saidina Ali r.a apabila ditanya tentang apakah maksud bacaan al-Quran secara tartil itu, maka beliau menjawab:

"Ianya adalah mengelokkan sebutan pada setiap huruf dan berhenti pada tempat yang betul."

Ini menunjukkan bahawa pembacaan al-Quran bukanlah suatu ilmu hasil dari Ijtihad (fatwa) para ulama' yang diolah berdasarkan dalil-dalil dari al-Quran dan Sunnah, tetapi pembacaan al-Quran adalah suatu yang Taufiqi (diambil terus) melalui riwayat dari sumbernya yang asal iaitu sebutan dan bacaan Rasulullah SAW sendiri.

Para sahabat r.a pula adalah orang-orang yang amanah dalam mewariskan bacaan ini kepada generasi umat Islam selepasnya. Mereka tidak akan menambah atau mengurangkan apa yang telah mereka pelajari itu, kerana rasa takut mereka yang tinggi kepada Allah S.W.T dan begitulah juga generasi selepas mereka.

Walau bagaimanapun, apa yang boleh dikira sebagai penulisan ilmu Tajwid yang paling awal ialah apabila bermulanya kesedaran perlunya Mushaf Uthmaniah yang ditulis oleh Saidina Uthman itu diletakkan titik-titik kemudiannya baris-baris bagi setiap huruf dan perkataannya. Gerakan ini telah diketuai oleh Abu Aswad Ad-Duali dan Al-Khalil bin Ahmad Al-Farahidi, apabila pada masa itu Khalifah umat Islam memikul tugas untuk berbuat demikian ketika umat Islam mula melakukan kesalahan dalam bacaan.

Ini kerana semasa Saidina Uthman menyiapkan Mushaf al-Quran dalam enam atau tujuh buah itu, beliau telah membiarkannya tanpa titik-titik huruf dan baris-barisnya kerana memberi keluasan kepada para sahabat dan tabiien pada masa itu untuk membacanya sepertimana yang mereka telah ambil dari Rasulullah s.a.w sesuai dengan Lahjah (dialek) bangsa Arab yang berbagai-bagai pada masa itu.

Tetapi setelah berkembang luasnya agama Islam ke seluruh tanah Arab serta jatuhnya Rom dan Parsi ke tangan umat Islam pada tahun pertama dan kedua Hijrah, bahasa Arab mula bercampur dengan bahasa penduduk-penduduk yang ditakluki umat Islam. Ini telah menyebabkan berlakunya kesilapan dan kesalahan yang banyak dalam penggunaan bahasa Arab dan begitu juga pembacaan al-Quran. Maka al-Quran Mushaf Uthmaniah telah dinaiktarafkan dengan penambahan baris dan titik pada huruf-hurufnya bagi mengelakkan berlakunya kesilapan dalam pembacaannya.

Karangan ilmu Qiraat yang terawal setakat apa yang diketahui oleh para penyelidik ialah apa yang telah dihimpun oleh Abu 'Ubaid Al-Qasim Ibnu Salam dalam kitabnya "Al-Qiraat" pada kurun ke-3 Hijrah. Tetapi ada yang mengatakan apa yang telah disusun oleh Abu 'Umar Hafs Ad-Duri dalam ilmu Qiraat adalah lebih awal. Pada kurun ke-4 Hijrah pula, lahir Ibnu Mujahid Al-Baghdadi dengan karangannya "Kitabus Sab'ah", dimana beliau adalah orang yang mula-mula mengasingkan qiraat kepada tujuh imam bersesuaian dengan tujuh perbezaan dan Mushaf Uthmaniah yang berjumlah tujuh naskhah kesemuanya pada masa itu.

Bagi karangan ilmu Tajwid yang paling awal pula, barangkali tulisan Abu Mazahim Al-Haqani dalam bentuk Qasidah (puisi) ilmu Tajwid pada akhir kurun ke-3 Hijrah adalah yang terulung. Selepas itu lahirlah para ulama yang tampil memelihara kedua-dua ilmu ini dengan karangan-karangan mereka dari semasa ke semasa seperti Abu 'Amr Ad-Dani dengan kitabnya At-Taysir, Imam Asy-Syatibi Tahani dengan kitabnya "Hirzul Amani wa Wajhut Tahani" yang menjadi tunggak kepada karangan-karangan tokoh-tokoh lain yang sezaman dan yang selepas mereka. Tetapi apa yang jelas dari karangan-karangan mereka ialah ilmu Tajwid dan ilmu Qiraat sentiasa bergandingan, ditulis dalam satu kitab tanpa dipisahkan perbahasannya. Penulisan ini juga diajar kepada murid-murid mereka beserta praktikal bacaannya.

Kemudian lahir pula seorang tokoh yang amat penting dalam ilmu Tajwid dan Qiraat iaitu Imam (ulama) yang lebih terkenal dengan nama Ibnul Jazari dengan karangan beliau yang masyhur iaitu "An-Nasyr", "Toyyibatun Nasyr" dan "Ad-Durratul Mudhiyyah" yang mengatakan ilmu Qiraat adalah sepuluh sebagai pelengkap bagi apa yang telah dinaytakan Imam Asy-Syatibi dalam kitabnya "Hirzul Amani" sebagai Qiraat tujuh. Imam Al-Jazari juga telah mengarang karangan yang berasingan bagi ilmu Tajwid dalam kitabnya "At-Tamhid" dan puisi beliau yang lebih terkenal dengan nama "Matan Al-Jazariah". Imam Al-Jazari telah mewariskan karangan-karangannya yang begitu banyak berserta bacaannya sekali yang kemudiannya telah menjadi ikutan dan panduan bagi karangan-karangan ilmu Tajwid dan Qiraat serta bacaan al-Quran hingga ke hari ini.

~ to be continued.. syukran jazilan 'ala qiraah..

Sifat-Sifat Orang Bertaqwa [2]



ا سلام عليکم ورحمة الله وبرکاته

بسم الله الرحمن الرحيم


As the day end's, alhamdulillah i finally get to sit quietly in front of my pc and do some blogging after a hectic day of studying. This entry will be a sequel to yesterday's post.

3. Berdzikir dan Berfikir.

Orang yang bertaqwa kepada Allah itu selalu mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan kepadanya. Diberi lidah, ia syukuri dengan banyak membaca dzikrullah, sering membaca Al-Quran, menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar. Jika menyuruh kepada makruf dan mencegah yang mungkar itu tidak mampu dilakukan, maka sekurang2nya ia berusaha dengan segenap tenaga untuk menjauhkan diri dari perkara-perkara yang dibenci oleh Allah. Seperti berdusta, menfitnah dan lain2.

Diberi nikmat penglihatan, maka nikmat tersebut dipergunakan untuk menyaksikan kebijaksanaan Allah dalam setiap ciptaan2Nya dan tidak digunakan untuk melihat sesuatu yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

Diberi nikmat pendengaran, maka nikmat itu dipergunakannya untuk mendengar alunan bacaan Al-Quran dan nasihat2 agama. Kemudian berusaha menjauhkan perkara2 tidak berguna, mahupun perkataan2 yang dapat memancing nafsu.

Nikmat tangan dipergunakannya untuk melakukan perkara2 yang diredhai oleh Allah dan sekali-kali tidak menggunakannya untuk kezaliman. Begitu juga dengan nikmat kaki yang dikurniakan Allah kepadanya, dipergunakannya untuk berjalan diatas garis2 yang mengarahkannya kepada ketaatan.

Nikmat paling besar dariNya adalah nikmat akal fikiran, nikmat inilah yang membezakan antara manusia dengan makhluk lainnya. Nikmat akal fikiran ini digunakannya untuk memikirkan segala nikmat kurnia Allah kepada dirinya. Akal fikiran yang ada pada dirinya itu sentiasa diisi dengan pelbagai macam pengetahuan dan menimba pelbagai macam pengalaman, sehingga ia dapat menjadi pelita dalam kehidupan.

4. Al-Quran Sahabat dalam Kegelisahan

Orang yang bertaqwa sentiasa mengetahui, bahawa kitab Allah S.W.T yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui malaikat Jibril merupakan roh hidayah dalam alam semesta ini dan yang telah merubah sejarah kemanusiaan. Justeru itu, antara orang yang bertaqwa dan Al-Quran sentiasa ada hubungan yang kuat. Ia hidup di bawah naungan Al-Quran dan tidak bosan2 dalam membaca dan memahami isi yang terkandung di dalamnya. Kerana ia sedar, Al-Quran merupakan tali penghubung antara Allah dengan hambaNya.

Orang yang bertaqwa juga menyedari, bahawa Al-Quran adalah kitab yang mulia, sebagai rahmat bagi alam semesta dan sebagai petunjuk bagi seluruh umat manusia. Di dalam Al-Quran telah terhimpun dasar kebaikan dan petunjuk2 untuk membangunkan kehidupan serta meletakkan asas ketenteraman di muka bumi ini. Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Sesungguhnya Al-Quran ini memimpin kepada yang lebih benar." (Surah Al-Israk: 9)

Disamping itu, Al-Quran adalah ubat yang hakiki bagi penyakit kegelisahan manusia. Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dan Kami turunkan dari Al-Quran itu apa yang menjadi ubat dan rahmat untuk orang2 yang beriman dan tidaklah menambah bagi orang2 yang zalim kecuali kerugian." (Surah Al-Israk: 82)


5. Redha Terhadap Ketentuan Allah

Bagi orang yang bertaqwa, ia sentiasa redha terhadap musibah yang ditimpakan Allah kepadanya, ia akan mencari hikmah yang diisyaratkan Allah disebalik dugaan tersebut. Ia juga menyedari hakikat bahawa Allah telah memilihnya sebagai insan yang menerima giliran dugaan itu. Di samping itu juga, ia yakin bahawa Allah sekali-kali tidak mengharapkan keburukan dari dugaan yang diberikan terhadap ciptaanNya.

Orang yang redha dengan ketentuan Allah, ketika dugaan datang menimpanya, akan menambahkan lagi ibadahnya kepada Allah S.W.T. Orang yang telah sampai ke tingkat redha ini adalah mereka yang sudah memiliki makrifat atau mengenal Allah dan ia sangat cinta dan rindu kepada Allah S.W.T. Sabda Rasulullah: "Sesungguhnya apabila Allah mencintai suatu kaum, maka Dia mengujinya. Barangsiapa yang redha terhadap ujianNya, maka ia memperoleh redhaNya dan barangsiapa yang tidak suka, maka akan mendapat murka Allah."

(Hadith Riwayat Tirmizi)

Dalam suatu riwayat diceritakan, bahawa suatu hari Ali bin Abi Thalib r.a melihat Ady bin Yatim bersedih hati, maka Saidina Ali pun bertanya: "Wahai Ady, mengapakah engkau kelihatannya bersedih hati?" Ady menjawab: "Bagaimana aku tidak bersedih, kerana dua orang anakku telah terbunuh didalam peperangan."

Saidina Ali lalu berkata: "Wahai Ady, barangsiapa yang redha terhadap takdir Allah, maka pahala akan diperolehinya daripada Allah. Dan barangsiapa yang tidak redha terhadap takdirNya, maka terhapuslah amal2nya."

Umar bin Abdul Aziz berkata: "Tidak ada kebahagiaan yang tinggal bagiku, kecuali dalam takdir Allah." Pernah orang bertanya kepadanya: "Apakah yang tuan inginkan dari kehidupan di dunia ini?" Umar menjawab: "Apa yang telah digariskan oleh Allah S.W.T untukku."

Begitulah kehidupan orang2 yang bertaqwa kepada Allah, sentiasa mengharapkan sesuatu dan menyerahkan diri kepadaNya. Mereka mengetahui bahawa ketentuan yang terjadi dalam dirinya adalah merupakan takdir Allah semata-mata. Maka hanya redhalah sebagai penawar untuk menghadapi ketentuan2 Allah tersebut. Dengan memiliki perasaan ini, maka orang yang bertaqwa sentiasa kelihatan tenang, tidak bersikap resah dan gelisah.

Menurut Ali bin Abi Thalib, orang2 yang bertaqwa itu ialah:

1. Orang yang berfikiran benar.

2. Berpakaian sederhana.

3. Jalannya penuh tawaddhu'.

4. Menundukkan pandangan dari yang diharamkan Allah.

5. Menggunakan telingan untuk mendengarkan ilmu yang bermanfaat.

6. Hatinya tenang dalam menghadapi bencana seperti di saat senang.

7. Sentiasa rindu kepada Allah.

8. Allah sangat Agung dalam pandangannya.

9. Sentiasa menahan diri dari berbuat jahat.

10. Keperluannya sederhana.

11. Dunia mengejarnya, tetapi ia tidak terpedaya dengan tipu daya dunia.

12. Bersikap sabar.

13. Di waktu malam hari ia sentiasa melaksanakan qiyamullail.

14. Sentiasa membaca Al-Quran.

15. Pada siang hari, rajin berusaha.

16. Tidak merasa puas dengan amal yang sedikit.

Setakat ini dahulu dari aNa, syukran jazilan for reading.

Sifat-Sifat Orang Bertaqwa [1]



ا سلام عليکم ورحمة الله وبرکاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Kaifa haluqum al aan? Entry kali ini yang ingin aNa kongsikan bersama ialah tentang sifat2 orang2 yang bertaqwa. Semoga bermanfaat buat saudara serta saudari semua hendaknya. Amiin~ Tafaddhal qiraah.

1. Mencintai Allah dan RasulNya

Iman yang teguh kepada Allah dan Rasul, dengan sendirinya akan menimbulkan rasa cinta yang sejati. Bahkan Allah sendiri menyuruh Nabi Muhammad S.A.W menyampaikan pesanNya kepada manusia, "Jika benar kamu mengaku cinta kepada Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintaimu juga."

Di dalam cinta kepada Allah, dengan sendirinya akan timbul pula cinta kepada Rasul. Kita mencintai Rasul bukanlah cinta untuk disembah tetapi cinta untuk dijadikan teladan didalam kehidupan. Bukan untuk disamakan dengan Allah, tetapi untuk dijadikan orang yang dipercayai sebagai penunjuk jalan kehidupan ini, agar selamat didunia dan akhirat.

Siti Aisyah r.a bercerita, bahawa pada suatu hari, pernah datang seorang sahabat kepada Rasulullah S.A.W, lalu berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri, engkau lebih aku cintai daripada kaum keluargaku, engkau lebih aku cintai daripada anak kandungku. Ketika aku sedang duduk termenung seorang diri didalam rumahku, teringat aku akan dirimu, lalu aku segera datang untuk melihat wajahmu.

Akan tetapi bila aku ingat akan suatu saat yang sudah pasti akan datang, iaitu kita akan meninggal, di dalam syurga baginda akan didudukkan ditempat yang tinggi, maka apakah masih lagi aku dapat melihatmu. Kerana tempatku tentu lebih jauh di bawah daripadamu."

Menurut ahli tafsir, kejadian inilah yang menyebabkan turunnya ayat al-Quran yang bermaksud: "Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka itu akan berada beserta orang2 yang diberi nikmat oleh Allah keatas mereka, iaitu para nabi2, orang2 shiddiqin, orang2 yang meninggal syahid dan orang2 yang soleh. Alangkah indahnya orang2 itu sebagai teman." (Surah an-Nisa: 69)

Ketika Bilal bin Rabah akan meninggal dunia, isterinya menangis sambil berkata: "Duhai sedihnya hatiku." Lalu dengan senyuman di bibir, Bilal berkata: "Wahai isteri, janganlah berduka, sesungguhnya tak lama lagi akau akan berkumpul dengan orang2 yg aku cintai iaitu Nabi Muhammad S.A.W dan sahabat2nya."

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah dijelaskan, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya: "Setengah daripada umatku yang sangat cinta kepada ku ialah orang2 yang datang sepeninggalku kelak. Mereka ingin sekali melihatku, dengan kaum keluarganya, dan harta bendanya."

(Hadith Riwayat Muslim)

Dengan penjelasan hadith ini, jelaslah bahawa cinta kepada Nabi tidak akan putus dalam hari orang yang beriman sehingga hati Qiamat. Cinta kepada Rasul dalam erti beriman kepada Allah masih akan menyala dihati orang2 yang bertaqwa selama Al-Quran masih ada. Pembuktian cinta itu ialah dengan berjihad menegakkan agamaNya, berjuang mengukuhkan hukumNya. Perasaan yang sedemikian ini hanya akan dimiliki oleh orang2 yang bertaqwa, orang yang menyakini bahawa Allah adalah Tuhannya, dan Muhammad adalah RasulNya. Ditengah malam didalam keadaan sunyi dimana orang tertidur nyenyak, dia akan bangun untuk bertahajjud kepada Allah S.W.T yang dicintainya, itulah antara sifat insan yang bertaqwa kepada Penciptanya.

2. Tidak Menyalahgunakan Nikmat Allah

Dunia ini adalah tempat ujian dan dugaan, tidak ada seorang pun dari hamba Allah yang dapat melepaskan diri dari ujian dan dugaan itu. Ujian dan dugaan itu terdiri dari pelbagai bentuk, ada yang bersifat kemiskinan dan ada juga yang berupa kenikmatan serta rezeki yang berlimpah ruah. Hal itu adalah bertujuan untuk menguji keimanan manusia, apakah dia termasuk orang2 yang bersyukur ataupun termasuk orang2 yang kufur.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Sesungguhnya harta-hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah cubaan bagimu. Sesungguhnya disisi Allah lah terdapat pahala yang besar." (Surah at-Taghabun: 15)

Dalam menghadapi ujian atau dugaan ini, hanya orang2 yang bertaqwalah yang beruntung. Mereka selalu berbuat perkara yang telah disyariatkan Allah, bersabar ketika miskin, dan bersyukur ketika dilimpahi nikmat serta membelanjakannya dijalan yang diredhai Allah. Jika sedang diuji dengan kekayaan, maka ia haruslah sentiasa berwaspada. Berbelanjalah sesuai dengan keperluan dan jauhi sifat boros.

Bila keadaaan ekonominya sederhana, maka ia mengambil jalan tengah, iaitu tidak boros dan tidak pula bakhil. Ia sedar bahawa sifat bakhil mahupun sifat boros kedua2nya dilarang oleh Allah, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (jangan bakhil) dan jangan pula terlalu mengulurkannya, kerana yang demikian itu kamu menjadi tercela dan menyesal." (Surah Al-Israk: 29)

Insya-Allah, post ini akan disambung in my next entry. Jazakallahu khairan kathir 'ala qiraah. Wassalamu'alaikum w.b.t

Berbaik Sangka Kepada Allah Tidak Mengecewakan



ا سلام عليکم ورحمة الله وبرکاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Kaifa haluqum al aan? Syukur alhamdulillah aNa masih diberi kesempatan olehNya untuk menjalani kehidupan seperti biasa.. Jazakallah khairan kathir aNa ucapkan pada semua yg sudi menjenguk blog aNa dan asif for not upating my blog for quite sometime.. Hayya qiraah~ ^.^

Firman Allah S.W.T di dalam hadith Qudsi mengatakan:

Aku mengikuti persangkaan hambaKu terhadapKu. Oleh itu, bersangkalah dia terhadapKu menurut apa yg disukainya." (Al-Hadith)

Seorang penulis mengatakan: "Harapan adalah materi untuk membangun kesabaran dan yang akan membantu orang yang bersabar. Dan alasan untuk berharap dari materi untuk membangunnya adalah berbaik sangka kepada Allah, kerana berbaik sangka kepada Allah adalah jaminan untuk tidak gagal. Sejauh pengamatan saya tentang watak orang-orang mulia dapat saya simpulkan bahawa mereka cenderung mengangkat orang yang bersikap baik kepada mereka, mengesampingkan orang yang kurang sopan pada mereka, dan malu untuk tidak meluluskan harapan orang yang berharap kepada mereka. Lalu bagaimana dengan Yang Maha Esa yang tentunya tidak akan kesulitan memberi kepada orang-orang yang bercita-cita."

Contoh kecintaan Allah kerana sikap hambaNya yang selalu menaruh harapan kepadaNya dan menanti pertolongan dan naungan dan tempat kembalinya, adalah jalan keluar dari kesulitan itu hanya akan datang setelah hamba itu mengalami kebuntuan, setelah tidak tahu lagi harus kemana ia mengarahkan cita-cita dan keinginannya, setelah pintu harapannya tertutup, setelah kehabisan akal, dan setelah tidak tahu bagaimana untuk mengakhiri tekanan dan ujian terhadap dirinya. Untuk apa semua itu? Agar ia menjadi pendorong bagi dirinya untuk mengarahkan harapannya kepada Allah dan agar menjadi peringatan supaya terus memperbaiki prasangka baiknya kepada Yang Maha Esa.

Sekian dahulu dari aNa, insya-Allah will be updating my blog with more posts soon coz at this moment, i'm currently facing tons of assignment's. Jazakallah. :)

Selamat Hari Raya Aidilfitri



Assalamu'alaikum w.b.t

Kaifa haluq ya antum wa antunna? Diharap kalian berada di dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Malam esok, akan bergemalah takbir raya insya-Allah. Semoga Ramadhan yg bakal berlalu ini berjaya untuk mentarbiahkan diri kita untuk menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat hendaknya. Amiin~

Dikesempatan ini aNa ingin mengucapkan Salam Aidilfitri buat semua saudara serta saudari dan Maaf Zahir dan Batin. May everyone be blessed with a beautiful and cheerful Hari Raya. ^.^

Before i wrap things up, i would like to wish a big thank you to Ukhti Julia yg sudi memberi aNa kad raya cyber. hee~ simple yet nice. Syukran jazilan ya ukhti, uhibbuki fillah abadan abada~

Salam Aidilfitri tulus ikhlas dari aNa, Nur Liza Ng & Family,
Selamat Hari Raya! ^.^

- Kad Raya Special dari Ukhti Julia Tersayang -

Sesungguhnya Puasa itu Mendidik Kesabaran



Assalamu'alaikum w.b.t

Syukur ke-hadrat Allah kerna masih memberi waktu pada kita semua untuk bernafas dan beramal di bumiNya ini. Kaifa haluqum al aan? Asif for not updating my blog for sometime. Diharap saudara serta saudari sekalian berada didalam keadaan sihat wal-afiah hendaknya. Amiin~ Entry kali ini would be something about fasting and patience. Tafaddhal qiraah~ ^.^

Mengikut sejarah, antara kesan-kesan yang diperolehi oleh orang-orang yang berpuasa ialah kekuatan dalam sifat sabar, iradah (kemahuan) dan keazaman. Ibadat puasa adalah pengawal daripada sifat-sifat buruk yang lahir daripada batin dan juga daripada penyeksaan api neraka.

Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud;

“Ibadat puasa itu adalah pengawal atau pelindung”.

Allah berfirman di Surah al-Baqarah : ayat 183 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan ke atas kamu ibadat puasa (Ramadhan) seperti mana juga telah difardhukan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa”. Menurut bahasa Arab, ‘Taqwa’ berasal daripada perkataan pelindung.

Di samping itu ibadat puasa itu juga mendidik manusia supaya bersifat sabar, yang dengan sifat sabarlah kebiasaannya seseorang itu dapat membentuk peribadi yang bermutu tinggi dan mampu membentuk sebagai pemimpin yang terkenal yang membawa dirinya ke peringkat yang dimuliakan, dihormati serta dikasihi.

Sifat sabar adalah seiring dengan sifat tawakal, sebab orang yang bertawakal mestilah sabar dalam menghadapi tanggungjawabnya dan meneruskan perjuangannya, juga tenang dalam menjalankan urusannya hingga sampai kepada matlamatnya. Allah S.W.T telah menyuruh Rasulullah S.A.W supaya sentiasa bersabar, seperti firmanNya di dalam Surah al-Ahqaf yang bermaksud:

“Maka bersabarlah engkau (wahai Muhammad) seperti mana juga mereka yang kuat keazaman daripada golongan para pesuruh Allah SWT dan janganlah engkau terburu-buru.”

Setiap manusia perlu kepada sifat mulia ini, khasnya di dalam memperjuangkan kebenaran, meninggikan syiar Islam, menyebar ajaran-ajaran aqidah yang benar dan suci serta membenteras kejahatan dan keburukan, sekadar yang mampu.

Amalan mulia seperti ini amat memerlukan kekuatan iradah dan keazaman yang kukuh yang boleh didapati melalui amalan puasa. Dalam hal ini Allah S.W.T telah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan tidaklah sama perbuatan yang jahat dengan yang baik, tolaklah kejahatan yang ditujukan kepadamu dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku sedemikian, maka orang yang menaruh permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan
menjadi seolah-olah seorang sahabat yang karib (baik hati), dan sifat yang terpuji ini dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang mempunyai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.”

Sifat sabar yang kuat sahajalah yang dapat menentang segala cabaran dan orang yang bersifat sabar sahaja akan berjaya.

Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud:

“Yang berjihad itu ialah yang menahan dirinya dari dipengaruhi dari kepercayaan dan perbuatan jahat, dengan berpegang teguh dengan agama, dan yang berhijrah (berpindah kepada kebaikan), dan mereka ialah yang menentang (meninggalkan) segala yang buruk.

Demikianlah antara hikmat-hikmat yang diperolehi oleh orang yang berpuasa dengan sabar, jujur dan ikhlas kerana Allah.

Sekian dahulu dari aNa, barakallahu fikum, wassalamu'alaikum w.b.t ^.^

Ahlan Wasahlan Syahrun Ramadhan [Part 2]



ا سلام عليکم ورحمة الله

بسم الله الرحمن الرحيم


Syukur alhamdulillah aNa masih berpeluang untuk menjalani kehidupan seperti biasa di bulan yang penuh barakah ini.. Kaifa haluqum? Diharapkan kalian semua sihat wal-afiah untuk sama-sama menunaikan fardhu puasa di ramadhan al-mubarak ini.. Sorry for updating this follow up entry for my previous post quite late due to so much things to be settled lately. Kali ini, aNa ingin berkongsi sedikit info tentang Lailatul Qadr. Hayya qiraah~ ^.^

- Waktu Terjadinya Lailatul Qadr -

Para ulama berselisih pendapat tentang saat dan waktu terjadinya Lailatul Qadr itu. Akan tetapi sebahagian besar ulama menyatakan bahawa Lailatul Qadr itu terdapat pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan pada setiap tahun.

Berkenaan dengan tarikh pasti jatuhnya malam Lailtul Qadr itu berbeza pendapatnya para ulama. Ada yang mengatakan satu Ramadhan, 17 Ramadhan, dan sebagainya namun secara umumnya, para sahabat Rasulullah S.A.W mengatakan ia jatuh pada 27 Ramadhan.

Yazid Al-Busthami menegaskan bahawa ia telah menemui Lailatul Qadr itu sebanyak dua kali seumur hidupnya dan kedua-duanya terjadi pada 27 Ramadhan.

Kerana tidak adanya keterangan yang pasti tentang bila terjadinya Lailatul Qadr itu, maka sebaiknya kita menghabiskan masa dengan beribadah pada setiap malam bermula daripada malam yang ke-20 seterusnya.

- Mengetahui Isyarat Tanda-Tanda Lailatul Qadr -

Menurut berbagai riwayat mengatakan bahawa di antara tanda-tanda turunnya malam Lailatul Qadr itu ialah: Malam terasa sunyi dan sepi, penuh dengan ketenangan, serta bercahaya. Keadaan tidak sejuk dan tidak panas. Hujan tidak turun pada malam itu. Cahaya matahari keesokan paginya berkurang sedikit dan matahari muncul seolah-olah seperti bulan mengambang penuh.

Dalam sebuah hadith diterangkan, bahawa Ubadah bin Samit r.a meriwayatkan bahawa beliau telah bertanya Rasulullah S.A.W mengenai Lailatul Qadr. Baginda menjawab: "Ia terdapat pada bulan Ramadhan, pada malam sepuluh terakhir Ramadhan, pada malam-malam ganjil sama ada pada malam 21, ke 23, ke 25, ke 27, ke 29 dan malam terakhir Ramadhan. Sesiapa sahaja yang berjaga malam untuk beribadah dengan iman dan penuh keikhlasan, maka akan terampunlah segala dosa-dosanya yang lampau."

(Hadith Riwayat Ahmad dan Baihaqi)

- Salah satu peristiwa penting di dalam sejarah Islam yang terjadi pada bulan Ramadhan ialah peristiwa penaklukan kota Makkah. Peristiwa itu terjadi tepatnya pada 20 Ramadhan pada tahun 8 Hijrah. Peristiwa tersebut bermula dari perjanjian Hudaibiyah antara kaum kafir Quraisy Makkah dengan kaum Muslimin di Madinah yang diikat pada tahun ke-7 Hijrah. Sebagaimana yang diketahui bahawa salah satu isi dari perjanjian Hudaibiyah ialah barangsiapa yang masuk kepada pihak Muhammad S.A.W, dia adalah termasuk pengikutnya, demikian pula barangsiapa yang masuk ke dalam golongan kafir Quraisy, maka dia adalah sekutunya.

Secara kebetulan, ada suku Khaza'ah memilih bergabung dengan Rasulullah S.A.W sedangkan suku Bani Bakr memilih bergabung dengan kaum kafir Quraisy. Kedua suku tersebut sebelumnya sering bermusuhan antara satu sama lain. Dalam perjanjian perdamaian tersebut, suku Bani Bakr telah berbuat khianat dan melanggar janji, bahkan secara diam-diam rencananya itu mendapat sokongan dari kaum kafir Quraisy.

Tentu sahaja suku Khaza'ah tidak senang hati dan memberitahukan peristiwa itu kepada Rasulullah S.A.W. Maka dengan membawa pasukan perang sebanyak sepuluh ribu orang, Rasulullah S.A.W berangkat untuk menghadapi kaum kafir Quraisy yang telah melanggar janji itu.

Keberangkatan Rasulullah S.A.W bersama pasukan yang ramai jumlahnya itu, tidak diketahui oleh kaum kafir Quraisy Makkah. Mereka baru mengetahuinya pada saat pasukan Islam telah hampir dengan kota Makkah. Melihat keadaan tersebut, kaum kafir Quraisy tidak mampu mengadakan peperangan. Akhirnya pasukan Islam yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W dapat menaklukkan kota Makkah dengan mudah dan telah menghancurkan seluruh berhala-hala yang berada di dinding-dinding Kaabah.

- Amal Ibadah Yang Dikerjakan Pada Bulan Ramadhan -

- Kewajipan Berpuasa -

Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang setiap tahun dinantikan ketibaannya oleh setiap umat Islam, kerana ia bulan yang mulia dan memberikan banyak manfaat, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang menghayatinya. Pada bulan Ramadhan inilah umat Islam diwajibkan berpuasa sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa. Maka yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang haq dan yang batil. Justeru itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan atau mengetahuinya, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu." (Al-Baqarah; ayat 181-185)

- Ikan di laut memohon keampunan bagi orang-orang yang berpuasa -

Dalam sebuah hadith dijelaskan; apabila Allah mencintai sesorang, Dia berfirman kepada Jibril: "Aku mencintai orang yang berpuasa tersebut, maka kamu juga hendaklah mencintainya." Jibril pun mencintainya dan mengumumkan kepada penghuni langit: "Orang itu dicintai Allah, kesemua kamu hendaklah mencintainya." Dengan itu kesemua penghuni langit mulalah mencintainya. Maka kecintaan terhadap orang yang berpuasa tersebut tersebar sehingga binatang-binatang di hutan dan ikan-ikan di laut pun turut mencintai dan mendoakan orang yang berpuasa.

- Pintu2 Syurga Dibuka -

Rasululllah S.A.W bersabda: "Pada malam pertama bulan Ramadhan, diikat semua syaitan dan jin dan ditutup semua pintu-pintu neraka dan tidak dibuka satupun pintu darinya. Dan dibukakan pintu-pintu syurga dan tidak ditutup satupun darinya. Maka berserulah penyeru; Wahai orang yang melakukan kebaikan, hampirlah kamu, wahai orang yang melakukan kejahatan, mundurlah kamu. Dan sesungguhnya Allah mempunyai ahli neraka yang dibebaskan dan yang demikian itu berlaku pada setiap malam (Ramadhan).

(Hadith Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)

- Akan mendapat keampunan -

Dalam hadith yang lain pula diterangkan, bahawa siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan bersungguh-sungguh beriman dan ikhlas kerana Allah, nescaya diampuni Allah dosa-dosanya yang telah lalu.

(Hadith Riwayat Ahmad)

Sekian dari aNa, Salam Ramadhan Al-Mubarak Ya Muslimin wal Muslimat. MySpace

Ahlan Wasahlan Syahrun Ramadhan [Part 1]

ا سلام عليکم ورحمة الله وبرکاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, bertemu lagi kita dengan bulan yang penuh barakah iaitu bulan Ramadhan al-Mubarak. Mudah-mudahan Ramadhan tahun ini will be more meaningful buat saudara muslimin wal muslimat semua. Rasa syukur sekali kerna masih diberi peluang oleh yang Maha Esa untuk bertemu bulan yang penuh kemuliaan ini. Yang menggembirakan lagi, dapat bertarawikh! Ngee~ (Tak sabarnya nak pergi tarawikh malam ini..) MySpace Sempena bulan yg barakah ini, aNa mahu berkongsi sedikit ilmu tentang pengertian Ramadhan. Hayya qiraah. ^.^ MySpace

- Pengertian Ramadhan -

Ramadhan ertinya "panas terik" atau "terbakar". Dinamakan sedemikian kerana cuaca pada bulan ini di Jazirah Arab sangat panas, sehingga jika ada orang yang berjalan kaki di padang pasir tanpa memakai alas kaki pastilah kakinya akan terbakar. Dalam pengertian lain, dinamakan dengan Ramadhan kerana pahala orang yang berpuasa pada bulan ini dapat membakar dosa-dosanya yang telah lalu.

- Peristiwa Yang Terjadi Pada Bulan Ramadhan -

1. Turunnya Al-Quran

Tanggal 17 Ramadhan adalah merupakan hari besar Islam yang paling utama, kerana pada hari itulah kitab suci Al-Quran sebagai pedoman bagi umat Islam diturunkan. Peristiwa yang bersejarah ini terjadi ketika Nabi Muhammad S.A.W sedang bersendirian di gua Hira' Jabal Nur, pada saat itu datanglah malaikat Jibril lalu memeluk Nabi Muhammad dengan kuatnya, seraya berkata: "Bacalah." Nabi Muhammad menjawab: "Aku tidak pandai membaca." Jibril melakukan yang demikian itu sebanyak tiga kali.

Akhirnya Jibril membacakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W itu, sementara Nabi Muhammad mengikuti apa yang dibaca oleh Jibril tersebut. Wahyu pertama ini terdapat dalam surah Al-A'laq ayat 1 hingga 5. Setelah itu, Jibril pun pergi. Nabi Muhammad S.A.W dengan segera pulang ke rumahnya, dalam keadaan tubuh yang menggigil, ia meminta isterinya Siti Khadijah untuk menyelimutinya.

Setelah rasa takutnya hilang, ia pun menceritakan peristiwa yang baru saja dialaminya. Siti Khadijah berusaha untuk menenangkan hatinya, dengan berkata: "Wahai suamiku, engkau adalah orang yang benar dalam segala perkara, suka membantu orang yang susah, bersifat jujur dan pemaaf, yakinlah wahai suamiku, Tuhan tidak akan menghinamu.

Lalu Siti Khadijah membawa Nabi Muhammad S.A.W pergi ke rumah bapa saudaranya Waraqah bin Naufal, seorang pemeluk agama Nasrani dan ahli Injil. Siti Khadijah menceritakan perkara yang telah terjadi ke atas diri suaminya itu. Maka Waraqah berkata: "Sesungguhnya yang datang kepadamu itu adalah malaikat Jibril, dialah malaikat yang pernah datang kepada Nabi Musa a.s, dan nabi-nabi sebelumnya. Aku berjanji, jika umurku panjang, nescaya aku akan ikut serta membantu perjuangan mu." Peristiwa turunnya wahyu yang pertama ini terjadi pada 17 hari bulan Ramadhan.

2. Isi Kandungan Al-Quran

Untuk keselamatan dan kebahagiaan umat manusia dari dunia hingga ke akhirat, Al-Quran telah cukup lengkap dan sempurna memberikan pedoman, bergantung sama ada orang mahu mengamalkan isi yang terkandung didalamnya atau tidak. Al-Quran mengatur hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan manusia dan dengan alam persekitarannya. Al-Quran juga mengatur dalam bidang politik, sosial ekonomi, budaya dan keamanan. Jika disimpulkan, isi Al-Quran mengandungi tiga perkara asas:

- Berkenaan dengan iman atau kepercayaan kepada Allah. (Tauhid)
- Berkenaan dengan hati. (Akhlak atau Tasawuf)
- Berkenaan dengan anggota badan, termasuk perkara yang berhubungan dengan pergaulan hidup. (Fiqh)

3. Keutamaan Membaca Al-Quran dan Khasiatnya.

Al-Quran adalah kitab suci yang merupakan sumber utama ajaran Islam menjadi petunjuk kehidupan umat manusia, diturunkan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W sebagai salah satu rahmat yang tidak ada bandingannya bagi alam semesta. Di dalam Al-Quran terkumpul wahyu Ilahi yang menjadi petunjuk, pedoman dan pelajaran bagi siapa yang mempercayai serta mengamalkannya. Al-Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan Allah, yang isinya meliputi segala pokok-pokok syariah yang terdapat dalam kitab-kitab suci yang diturunkan sebelumnya. Kerana itu, setiap orang yang mempercayai Al-Quran akan bertambah cinta kepadanya, cinta untuk membacanya, untuk mempelajari dan memahaminya serta untuk mengamalkan dan mengajarkannya sampai merata rahmatnya dirasai oleh penghuni alam semesta.

Setiap mukmin yakin, bahawa membaca Al-Quran sudah termasuk amal yang sangat mulia dan akan mendapat pahala yang berlipat ganda, sebab yang dibacanya itu adalah Kitab Suci. Al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi orang Mukmin, baik dikala senang mahupun dikala susah, dikala gembira ataupun dikala sedih. Malah membaca Al-Quran itu bukan sahaja menjadi amal ibadah, tetapi juga menjadi ubat dan penawar bagi orang yang gelisah jiwanya.

4. Lailatul Qadr

"Lailatul" ertinya malam dan "Qadr" ertinya nilai, mulia atau ketentuan. Dinamakan dengan "malam bernilai atau mulia" kerana bagi orang yang beribadah pada malam tersebut, nilainya lebih baik dari seribu bulan. Firman Allah S.W.T yang maksudnya:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran pada malam kemuliaan. Tahukah kamu apa malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Allah untuk mengatur segala urusan. Malam itu dipenuhi kesejahteraan, hingga terbit fajar."

Beruntunglah bagi orang yang memperoleh keberkatan sepenuhnya daripada malam ini dengan cara menghabiskan masanya beribadah kepada Allah kerana dia akan memperoleh pahal beribadah sebanyak seribu bulan. Sesungguhnya anugerah yang diberikan Allah kepada orang-orang Islam yang taat pada malam itu adalah merupakan suatu kurnia yang sangat besar. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas r.a, sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda berkenaan malam itu: "Malam Qadr itu hanya dikurniakan Allah kepada umatku dan tidak kepada umat yang lain."

Diantara sebab-sebab dikurniakan Allah Lailatul Qadr ini banyak pendapat mengenainya. Menurut beberapa hadith, di antara sebab diberikan Lailatul Qadr ini kerana Rasulullah S.A.W pernah memikirkan tentang umur umat-umat dahulu yang panjang-panjang dan apabila dibandingkan dengan keadaan umur pendek umatnya, maka baginda sangat berdukacita. Jika umat ini berlumba dalam kesolehan dengan umat-umat yang dahulu, maka mustahillah mereka dapat bersaing atau mengatasinya lantaran umur mereka yang pendek.

Maka dengan rahmat Allah S.W.T, dikurniakan malam yang penuh keberkatan ini. Ini bermakna jika mana-mana orang daripada umat Nabi Muhammad S.A.W beruntung dapat menghabiskan masa sebanyak sepuluh malam yang terakhir mencari Lailatul Qadr dalam menyembah Allah S.W.T, maka pahala yang diperolehinya ialah sebanyak 83 tahun malahan lebih banyak lagi.

Riwayat lain menyatakan bahawa suatu ketika, Rasulullah S.A.W menceritakan kepada para sahabat tentang seorang yang sangat soleh dikalangan Bani Israil yang telah menghabiskan masanya dalam jihad selama seribu bulan. Apabila mendengar cerita tersebut, para sahabat berasa cemburu kerana mereka tidak dapat mencapai ganjaran yang sama. Maka Allah S.W.T pun menganugerahkan Lailatul Qadr ini.

Insya-Allah, post ini akan bersambung in my next entry. Selamat beribadah dan salam Ramadhan al-Mubarak buat semua saudara serta saudari yang sangat dikasihi. Syukran jazilan 'ala qiraah. Barakallahu fikum wassalamu'alaikum w.b.t. MySpace

Ummu Sulaim Wanita Yang Sabar dan Redha Dengan Kematian Anaknya

ا سلام عليکم ورحمة الله وبرکاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Kaifa haluq ya antum wa antunna? Diharapkan kalian semua berada di dalam keadaan yang sihat sejahtera hendaknya. Pasti saudara serta saudari sekalian tidak sabar untuk menanti kedatangan bulan yang penuh kemuliaan iaitu bulan Ramadhan al-Mubarak which starts on this Saturday. Syukur alhamdulillah kerna kita masih dikurniakan peluang untuk bertemu bulan yang penuh barakah ini once again. MySpace Insya-Allah, dalam entry kali ini, aNa hendak berkongsi sebuah kisah yang sangat baik untuk diambil iktibar daripadanya iaitu mengenai Ummu Sulaim, Wanita Yang Sabar dan Redha Dengan Kematian Anaknya. Hayya qiraah! ^.^

Ummu Sulaim ialah ibu kepada Anas r.a. Selepas suaminya meninggal dunia, Ummu Sulaim menjadi janda buat beberapa ketika, ini adalah supaya dia dapat menumpukan perhatian untuk mendidik anak lelakinya. Setelah sekian lama menjanda, maka Ummu Sulaim pun dikahwinkan dengan Abu Talhah r.a, hasil dari perkahwinan itu maka lahirlah seorang anak lelaki yang diberi nama Abu Umair.

Rasulullah S.A.W juga pernah bermain dengan Abu Umair. Pada suatu hari, Abu Umair telah ditimpa sakit dan pada ketika itu Abu Talhah sedang berpuasa. Abu Talhah meninggalkan rumahnya untuk menguruskan kerjanya, setelah Abu Talhah meninggalkan rumahnya untuk beberapa jam, maka anaknya Abu Umair pun meninggal dunia.

Ummu Sulaim memandikan jenazah anaknya dan membalutinya dengan kain lalu diletakkan diatas tempat tidur, kemudian Ummu Sulaim pun mandi dan menyalin pakaian dan menghiaskan dirinya. Setelah Abu Talhah pulang untuk berbuka puasa maka berkata Abu Talhah: "Wahai Ummu Sulaim, bagaimanakah keadaan anak kita?"

Ummu Sulaim berkata: "Anak kita sekarang berada dalam keadaan aman."

Setelah Abu Talhah mendengar kata-kata isterinya itu, maka dia pun merasa gembira, pada malam tersebut, Ummu Sulaim melayani suaminya dengan baik dengan harapan suaminya akan merasa gembira.

Pada keesokan paginya, ketika suami isteri itu sedang berbual-bual, maka berkata Ummu Sulaim: "Saya mempunyai satu soalan yang hendak dikemukakan kepadamu."

Abu Talhah berkata: "Katakan kepadaku, apakah soalan itu Ummu Sulaim?"

Ummu Sulaim pun berkata: "Andai seseorang itu telah diamanahkan untuk menjaga sesuatu barang itu, kemudian orang yang mengamanahkan barang itu datang dan mengambilnya kembali, maka patutkah kita memberinya kembali atau tidak?"

Abu Talhah menjawab: "Kita mestilah mengembalikan barang yang diamanahkan itu apabila tuannya hendak mengambilnya, kita tidak ada hak untuk menyimpannya."

Ummu Sulaim berkata lagi: "Abu Umair telah diamanahkan Allah S.W.T kepada kita, kini Allah S.W.T telah mengambilnya kembali."

Apabila Abu Talhah mendengar kata-kata isterinya itu, hatinya menjadi pilu dan beliau berkata: "Wahai Ummu Sulaim, mengapakah kamu tidak memberitahu ku terlebih dahulu?"

Kemudian Abu Talhah pergi berjumpa dengan Rasulullah S.A.W dan menceritakan tentang kematian anaknya itu dan layanan isterinya pada malam tersebut. Setelah Rasulullah S.A.W mendengar segala kata-kata dari Abu Talhah itu, maka beliau pun berdoa: "Mudah-mudahan Allah akan memberkati pergaulan dengan isterimu itu."

Hasil dari keberkatan doa Rasulullah S.A.W, maka mereka dikurniakan oleh Allah S.W.T seorang anak lelaki yang diberi nama Abdullah. Dan Abdullah pula apabila telah dewasa dan mendirikan rumahtangga, maka dia dikurniakan anak seramai 9 orang, kesemua anak Abdullah adalah lelaki dan kesemua anaknya itu menjadi Qari.

Ummu Sulaim merupakan seorang wanita yang sabar dan sangat sabar dan sangat faham tentang agama, inilah salah satu sifat yang harus ada pada setiap suami isteri. Andai wanita yang kematian anaknya itu bukan orang yang berilmu maka sudah tentu syaitan dapat menghancurkan rumahtangga yang bahagia. Senjata utama syaitan untuk menghancurkan rumahtangga yang bahagia ialah dengan menghasut si isteri supaya mengatakan: "Punca kematian anak saya ini adalah kerana kamu, kamu tidak mahu mengambil berat tentang kesihatannya."

Namun andai wanita itu wanita yang beriman pada Allah S.W.T, maka dia akan berkata: "Anak ini adalah amanah dari Allah S.W.T dan kita telah menjaga dengan sebaik-baiknya, kini Allah mengkehendakinya maka kepadaNyalah kita kembalikan."

Wahai saudara muslimin wal muslimat, ingatlah bahawa dari Allah kita datang, dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Oleh itu, janganlah menyesal atas sesuatu yang telah tiada. Janganlah kita menyintai sesuatu itu berlebih-lebihan selain dari Allah S.W.T, kerna selain dari Allah S.W.T, semua akan meninggalkan kita atau kita yang akan meninggalkannya.

Dunia ini hanyalah kehidupan yang sementara dan kehidupan yang tidak kekal, kehidupan di akhirat jualah yang kekal. Selagi kita masih bernyawa, selagi itulah kita harus taat kepada Allah serta rasulNya. Mudah-mudahan Allah S.W.T akan memberikan kita kehidupan yang terbaik di akhirat nanti. Amiin ya rabbal 'alamiin.

Before i wrap things up, i would like to dedicate a little prayer to my late beloved grandmother, may her soul rest in peace with Allah's will.

In Loving Memory - Rosalind Ng - 21st August, 2006

Kunci Kebahagiaan

Assalamu'alaikum wbt..

Segala puji bagi Allah Yang Pengasih lagi Maha Penyayang serta selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W yg sgt dikasihi serta para keluarga dan sahabatnya.

Kaifa haluqum ya antum wa antunna al aan? Diharap kalian berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Kali ini aNa akan berkongsi sedikit tazkirah tentang kebahagiaan. Mudah-mudahan bermanfaat buat semua. Insya-Allah. Hayya al-qiraah. ^.^

Jika anda telah mengenali Allah, mensucikanNya, beribadah kepadaNya, dan menempatkanNya sebagai Tuhan, sementara anda berada di dalam sebuah pondok, nescaya anda akan mendapatkan kebaikan, kebahagiaan, ketenangan dan rasa damai.

Namun jika anda menyimpang, walaupun tinggal di dalam istana yang paling megah, di rumah yang paling luas dan memiliki semua yang anda sukai, maka ketahuilah bahawa akhir kehidupan adalah pahit sekali dan penderitaan dalam erti yang sebenarnya. Dan, itu bererti bahawa anda hingga kini belum memiliki kunci kebahagiaan.

"Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya (saja) sunggu berat untuk dipikul oleh beberapa orang yang sangat kuat" (Surah al-Qashash: 76)

Renungan;

Firman Allah S.W.T:

"Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman" (Surah al-Hajj: 38)

Ayat ini bererti Allah membela mereka untuk tidak terjerumus ke dalam kejahatan dunia dan akhirat.

Ini adalah sebuah berita, janji dan sekaligus khabar gembira dari Allah bagi orang-orang yang beriman bahawa Dia akan membela mereka dari semua yang tidak baik. Allah akan menghindarkan mereka - kerana keimanan mereka - dari semua keburukan orang-orang kafir, keburukan godaan syaitan, keburukan dirinya sendiri, keburukan amal perbuatan mereka sendiri, dan membantu meringankan beban yang memberatkan mereka. Setiap mu'min berhak atas pembelaan dan keutamaan seperti itu sesuai dengan kadar keimanannya. Ada yang mendapat banyak, dan ada juga yang mendapat sedikit.

Bahawasanya Allah menghibur hamba yang sedang ditimpa bencana dan meringankan kesulitan yang ia hadapi adalah satu dari sekian banyak buah keimanan. Dan buah keimanan itu akan menjadi hiburan kepada hamba dan akan membuatnya merasa ringan tatkala ditimpa musibah dan bencana.

"...barangsiapa yang beriman kepada Allah, maka Allah akan memberikan petunjuk pada hatinya" (Surah at-Taghaabun: 11)

Konteks ayat ini adalah seorang hamba yang sedang ditimpa musibah. Dan ia menyedari bahawa musibah yang menimpanya ini berasal dari Allah, bahawa segala yang akan menimpanya pasti terjadi atas ketentuan Allah. Sehingga ia dapat menerima dan pasrah kepada taqdir sekalipun ia menyakitkan; dan bencana sebesar apa pun akan tidak bererti dihadapannya kerana keyakinannya bahawa semua itu berasal dari Allah dan itu bererti ia akan mendapatkan pahala atas kesabarannya.

Wallahu a'lam bis-sowab. Sekian dulu dari aNa, jazakallah khairan kathir 'ala qiraah. Ilalliqo' wa ma'assalamah. MySpace
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 ~A Journal of Success~ |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.