Penghayatan Ramadhan [1]
Posted by
Liz Rafael
on Saturday, July 17, 2010
ا سلام عليکم ورحمة الله وبرکاته
بسم الله الرحمن الرحيم
Kaifa haluqum al aan? Syukur ke-hadratNya kerana masih mengurniakan aNa peluang untuk berkongsi ilmu sempena bulan Ramadhan al-Mubarak yang bakal tiba pada bulan hadapan. Sebagai permulaan, aNa akan menulis sebuah entry bertajuk: Kesucian Ramadhan. Tafaddhal qiraah.
Ramadhan berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud panas terik. Ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Ramadhan itu digunakan kerana pada bulan itu, dosa-dosa dihapuskan oleh perbuatan baik sebagaimana matahari membakar tanah. Hal ini dikiaskan dengan umat Islam yang mengambil kesempatan di bulan Ramadhan untuk serius untuk menghapuskan dosa, muhasabah diri dan memperbaharui kekuatan jasmani, rohani dan tingkah lakunya sebagaimana panas mewakili sesuatu yang dapat mencairkan sesuatu bahan.
Ramadhan merupakan bulan yang ke-9 dan bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam. Seperti bulan-bulan Islam yang lain, bulan ini mempunyai 29 atau 30 hari. Pada bulan ini, umat Islam diwajibkan berpuasa seperti yang termaktub dalam Al-Quran,
"Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (antara yang haq dan yang batil). Oleh itu, sesiapa antara kamu hadir pada bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu."
(Surah Al-Baqarah, ayat 185)
Bulan Ramadhan merupakan masa untuk umat Islam berfikir dan muhasabah diri, bersolat, membuat kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai. Diharapkan dengan berpuasa dari fajar hingga senja, umat Islam akan dapat mempertingkatkan disiplin diri dan menjadi pemurah, dengan mengingati kesusahan hidup sebahagian manusia yang miskin dan kurang upaya.
- Pengertian Puasa -
Umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadah pada bulan Ramadhan kerana ganjarannya digandakan pada bulan ini.
Puasa dari segi bahasa Arab bermaksud menahan diri daripada sesuatu. Dalam Al-Quran terdapat ayat yang menceritakan tentang Maryam,
"Sesungguhnya aku bernazar bagi Tuhan yang bersifat Pengasih akan mengerjakan puasa, iaitu menahan diri dan diam dari berkata-kata."
(Surah Maryam, ayat 26)
Pengertian puasa mengikut istilah hukum syarak pula ialah menahan diri daripada perkara-perkara tertentu oleh orang-orang yang tertentu pada waktu-waktu yang tertentu dengan beberapa syarat.
Maksud perkara-perkara tertentu adalah makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Orang yang tertentu pula adalah orang yang menganut agama Islam, cukup umur dan berakal. Sementara pada waktu-waktu tertentu itu pula bererti sepanjang hari iaitu mulai terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.
Selama sebulan Ramadhan, umat Islam akan berpuasa setiap hari. Syariat ini diturunkan pada 10 Syaaban tahun ke-2 Hijrah. Sejak itu, masyarakat Islam menyambut bulan Ramadhan dengan berpuasa pada siang harinya.
Orang Islam disunatkan bersahur sebelum berpuasa. Sahur (makan sebelum fajar) membezakan puasa orang Islam dengan puasa penganut agama lain. Semasa berbuka puasa (iftar), disunatkan berbuka dengan kurma, atau makanan dan minuman yang manis serta tidak berlebih-lebihan. Disunatkan juga menjamu orang lain berbuka puasa.
- Jenis-jenis Puasa -
Puasa Wajib:
* Puasa bulan Ramadhan
* Puasa ganti
* Puasa Kifarat
* Puasa nazar
Puasa Sunat:
* Puasa enam hari pada bulan Syawal
* Puasa hari Arafah
* Puasa hari Asyura pada 10 Muharram
* Puasa bulan Syaaban
* Puasa Isnin dan Khamis
* Puasa pertengahan bulan iaitu pada 13, 14 dan 15 pada tiap-tiap bulan
Puasa Makruh:
* Puasa setiap hari terus menerus sepanjang masa
* Puasa khusus pada hari Jumaat sahaja
* Puasa khusus pada hari Sabtu sahaja
Puasa Haram:
* Puasa pada hari raya pertama Aidilfitri
* Puasa pada hari raya Aidiladha
* Puasa tiga hari sesudah hari raya Aidiladha atau hari tasyrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah
* Puasa isteri tanpa izin suaminya
*Puasa hari syak (hari ke-30 bulan Syaaban)
* Puasa perempuan haid atau nifas
Syarat Wajib Puasa:
* Berakal
* Akil baligh (cukup umur)
* Kuat atau mampu mengerjakan puasa
Syarat Sah Puasa:
* Islam
* Mumaiyiz (dapat membezakan yang baik dan buruk)
* Suci daripada haid dan nifas
* Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa
Rukun Puasa:
* Berniat – Pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan, hendaklah berniat dalam hati bagi mengerjakan puasa pada hari esok
* Menahan diri daripada segala perbuatan yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari
Perkara Yang Membatalkan Puasa:
* Makan dan minum dengan sengaja
* Muntah dengan sengaja
* Bersetubuh pada siang hari
* Keluar haid dan nifas
Orang Yang Diizinkan Berbuka:
* Orang yang sakit
* Orang yang dalam perjalanan jarak jauh melebihi 80km
* Orang tua yang sudah lemah
* Perempuan yang hamil dan perempuan yang menyusukan anak
Sehingga disini dahulu aNa menulis, insya-Allah akan bersambung lagi di entry seterusnya.. Semoga perkongsian ini bermanfaat bagi semua.. Syukran jazilan sekali lagi kerana sudi membaca.. Ilalliqo’ wa ma’assalamah. (^.^)
0 comments:
Post a Comment