Penghayatan Ramadhan [2]



ا سلام عليکم ورحمة الله وبرکاته

بسم الله الرحمن الرحيم

- Asas Penentuan Awal Ramadhan Dan Syawal -

Pendahuluan:

Menurut perspektif Islam, asas penentuan awal Ramadhan dan Syawal disandarkan kepada al-Quran dan Sunnah yang menerangkan mengenai pergerakan cakerawala seperti matahari, bulan dan bintang bagi penentuan waktu yang disebut Mawaqit.

Asas penentuan awal bulan Hijrah yang digunakan oleh umat Islam khasnya dalam menentukan awal bulan Ramadhan dan Syawal adalah berdasarkan kepada pergerakan bulan dan bumi mengelilingi matahari. Ia menjadi asas perhitungan awal bulan dan tahun yang mempunyai hubung kait dengan ibadah puasa dan hari raya puasa.

Al-Quran dan Sunnah memberi panduan kepada kita untuk membuat penentuan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah. Para ulama membahaskan dengan panjang lebar berkenaan isu ini dalam kitab-kitab mereka. Berdasarkan pedoman-pedoman ini, lahirlah tiga amalan yang berbeza dalam menentukan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah dengan kaedah berikut:

1. Rukyah (melihat anak bulan)
2. Hisab falak (pengiraan)
3. Rukyah dan hisab dengan menggunakan kriteria Imkan ar-Rukyah, iaitu menggunakan hisab dalam menentukan nampak anak bulan. Perbezaan amalan dan cara diatas berlaku adalah berpunca daripada perbezaan dalam memahami dan mentafsir maksud ayat-ayat al-Quran dan hadith yang berkaitan. Malaysia mengamalkan cara penentuan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah dengan rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria Imkan ar-Rukyah

Apabila membicarakan mengenai asas penentuan awal Ramadhan dan Syawal dari sudut syarak, ia merujuk kepada panduan yang telah diterangkan oleh Allah dan Nabi Muhammad kepada kita iaitu al-Quran, Sunnah dan pandangan ulama.

Dalil:

1. Dalil-dalil al-Quran

Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah. Oleh itu, sesiapa diantara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa.

(Surah al-Baqarah, ayat 185)

Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap gelita), dan Kami menjadikan tanda siang itu terang benderang supaya kamu mudah mencari rezeki daripada limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari), dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.

(Surah al-Israk, ayat 12)

Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar dan bulan bercahaya dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan kegunaan yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kamu yang mahu mengetahui (hikmah setiap yang dijadikanNya).

(Surah Yunus, ayat 5)

2. Dalil Hadith Rasulullah

Abu Hurairah r.a melaporkan bahawa Rasulullah telah bersabda: "Berpuasalah kamu kerana melihat hilai (anak bulan) dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat hilal. Apabila hilal terlindung awan daripada pandangan kamu, maka sempurnakanlah bilangan bulan tersebut (tiga puluh hari)."

(Riwayat Muslim)

0 comments:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 ~A Journal of Success~ |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.