Penghayatan Ramadhan [6]



ا سلام عليکم ورحمة الله وبرکاته

بسم الله الرحمن الرحيم

- Lailatulqadar -

Makna Lailatulqadar:

Tentang makna al-Qadar, sebahagian ulama berpendapat ia bermaksud pengagungan. Dapat difahami Lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana diturunkan Al-Quran pada malam itu, turunnya para malaikat, dilimpahi rahmat dan keampunan Allah S.W.T serta Allah S.W.T akan menganugerahkan keagungan kepada mereka yang beribadah pada malam itu.

Al-Qadar juga bermaksud penetapan. Oleh itu, lailatulqadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya. Ini jelas bertentangan dengan tanggapan kebanyakan umat Islam di Malaysia yang beranggapan malam Nisfu Syaaban adalah malam yang mana Allah menetapkan apa yang ditakdirkan untuk kita pada tahun berikutnya.

Mereka berhujah dengan firman Allah S.W.T:

"Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran agar hamba-hamba Kami tidak ditimpa azab. Kami menurunkan Al-Quran pada malam itu kerana pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah serta ketetapan yang bakal berlaku."

Menurut tafsiran Ikrimah, malam yang diberkati dan ditetapkan segala urusan manusia itu adalah malam Nisfu Syaaban. Namun, pendapat ini ditolak kerana nas-nas yang sahih menjelaskan Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan. Malam yang diberkati itu adalah malam Lailatulqadar sebagaimana yang terdapat di dalam surah Al-Qadr.

Al-Hafiz Ibn Kathir ketika mentafsirkan surah ad-Dukhan, ayat 3-4, katanya, "Allah menjelaskan tentang Al-Quran, ia diturunkan pada malam yang penuh berkat iaitu pada malam Al-Qadr sebagaimana kata Allah S.W.T dalam surah Al-Qadr,

"Sesungguhnya Kami menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Al-Qadr."

(Surah al-Qadr, ayat 1)

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa adalah) bulan Ramadhan yang diturunkan Al-Quran padanya.."

(Surah Al-Baqarah, ayat 185)

Pengajaran yang dapat diambil adalah sesiapa yang mengatakan malam yang dimaksudkan (dalam surah ad-Dukhan itu) adalah malam Nisfu Syaaban seperti yang dilaporkan daripada Ikrimah, bererti dia menjauhkan diri daripada pengertian asalnya. Ini kerana, Al-Quran menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan malam yang penuh berkat itu (Lailatulqadar) adalah pada bulan Ramadhan.

(Tafsir Al-Quran Al-Azim, al-Hafiz Ibn Kathir, jilid 4, m/s 137)

Mengikut Quraish Shihab, perkataan Qadar sesuai dengan penggunaannya dalam ayat-ayat al-Quran yang mengandungi tiga maksud iaitu,

1. Penetapan dan pengaturan, sehingga Lailatulqadar difahami sebagai malam penetapan Allah S.W.T bagi perjalanan hidup manusia. Penggunaan Qadar sebagai ketetapan dapat dijumpai pada surah ad-Dukhan ayat 3-5,

"Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). Kami menurunkan al-Quran pada malam itu kerana pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). Iaitu perkara-perkara yang terbitnya daripada hikmat kebijaksanaan Kami, sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus rasul."

2. Kemuliaan. Malam itu adalah malam mulia yang tiada bandingnya. Ia mulia kerana terpilih sebagai malam turunnya al-Quran. Penggunaan Qadar yang merujuk pada kemuliaan dapat dijumpai pada surah al-An'am ayat 91 yang berbicara tentang kaum musyrik,

"Mereka itu tidak memuliakan Allah dengan kemuliaan yang semestinya, ketika mereka berkata Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada masyarakat."

3. Sempit. Malam itu adalah malam yang sempit, kerana banyaknya malaikat yang turun ke bumi, seperti yang ditegaskan dalam surah al-Qadar. Penggunaan Qadar bagi melambangkan kesempitan dapat dijumpai pada surah ar-Ra'd ayat 26,

"Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkannya dan mereka (yang ingkar); Bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia ini tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat."

- Bilakah Berlakunya Lailatulqadar -

Timbul persoalan bila berlaku Lailatulqadar. Ini adalah kerana sekiranya malam itu dapat diketahui saat berlakunya, manusia pasti mahu menggandakan amalam mereka pada malam itu. Ada beberapa petunjuk yang dapat dijadikan pedoman bagi mencari ketibaan malam itu. Diantaranya ialah:

1. Terdapat pendapat yang mengatakan terjadinya malam Lailatulqadar itu pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Hal itu berdasarkan hadith daripada Aisyah yang mengatakan,

"Rasulullah s.a.w beriktikaf pada 10 hari terakhir pada bulan Ramadhan dan beliau telah bersabda, "Carilah malam Lailatulqadar pada malam ganjil iaitu pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Sabda Rasulullah s.a.w,

"Carilah Lailatulqadar pada 10 malam terakhir. Sekiranya seseorang daripada kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia berputus asa mencarinya pada baki tujuh malam terakhir."

(Riwayat Muslim)

3. Daripada Ibn Abbas berkata, "Umar memanggil para sahabat Rasulullah kemudian menanyakan mengenai malam Lailatulqadar kepada mereka, maka mereka sepakat bahawa malam tersebut jatuh pada malam 10 terakhir bukan Ramadhan. Kemudian Ibn Abbas berkata, "Ketika itu aku mengatakan kepada Umar, sesungguhnya aku tahu malam ke berapa." Kemudian Umar bertanya, "Malam keberapa?" Aku menjawab, "Malam ketujuh pertama bulan Ramadhan atau malam ketujuh pada hari 10 terakhir bulan tersebut." Kemudian dia bertanya kembali, "Daripada mana kamu mengetahui hal tersebut?" Maka aku pun menjawab, "Allah menciptakan 7 lapis langit dan 7 lapis bumi, 7 hari dan masa terus beredar dalam 7 putaran, manusia terbentuk dalam 7 bulan, bersujud sebanyak 7 kali, begitu juga dengan tawaf, melontar jamrah dan sebagainya."

Pendapat yang dianggap kuat adalah pendapat yang menyatakan bahawa Lailatulqadar jatuh pada hari-hari ganjil terakhir bulan Ramadhan dan daripada hari ganjil itu terpilih pada malam 27.

Mengikut kitab Matla' al-Badrain wa Majma' al-Bahrain karangan Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani mengatakan Lailatulqadar itu dapat diketahui berdasarkan hari pertama bulan Ramadhan.

* Sekiranya awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau Rabu, maka Lailatulqadar berlaku pada malam ke-29

* Sekiranya awal Ramadhan jatuh pada hari Isnin, maka Lailatulqadar berlaku pada malam ke-21

* Sekiranya awal Ramadhan jatuh pada hari Selasa atau Jumaat, maka Lailatulqadar berlaku pada malam ke-27

* Sekiranya awal Ramadhan jatuh pada hari Khamis, maka Lailatulqadar berlaku pada malam ke-25

* Sekiranya awal Ramadhan jatuh pada hari Sabtu, maka Lailatulqadar berlaku pada malam ke-23

Harus diingat, jangan disebabkan keyakinan pada tanda-tanda ini, kualiti dan kuantiti ibadah kita berkurangan pada malam-malam yang lain. Namun begitu, ianya boleh dijadikan panduan untuk kita mencari dan menentukan bilakah berlakunya Lailatulqadar.

- Tanda-tanda Lailatulqadar -

Berlakunya Lailatulqadar dapat diketahui melalui beberapa tanda. Antaranya:

1. Hadith daripada Zir bin Hubaisy, beliau berkata,

"Aku mendengar Ubay bin Kaab berkata, sesiapa yang bangun pada tengah malam selama satu tahun, dia akan mendapatkan Lailatulqadar. Ayahku berkata, 'Demi Allah, tidak ada Tuhan selain Dia, malam itu terdapat pada bulan Ramadhan. Demi Allah, aku mengetahuinya, tapi malam manakah itu? Malam yang mana Rasulullah memerintahkan kita supaya bangun dan beribadah. Malam itu adalah malam ke-27 yang ditandai dengan terbitnya matahari berwarna putih bersih tidak bercahaya seperti biasanya."

2. Hadith yang dilaporkan oleh Ibn Abbas, "Ketika Lailatulqadar pergi meninggalkan, bumi tidak terasa dingin, tidak juga panas dan matahari terlihat warna merah pudar."

3. Hadith daripada Ahmad, "Pada hari itu tidak terasa panas ataupun dingin, dunia sunyi dan rembulan bersinar."

4. Ibn Munir pula berkata, "Lailatulqadar tidak selamanya harus diiringi keajaiban atau kejadian aneh kerana Allah S.W.T Maha Mulia dan memberikan segala sesuatu sesuai dengan kehendaknya. Sehingga ada yang mendapatkan malam Lailatulqadar hanya dengan beribadah tanpa melihat adanya keanehan dan ada sebahagian lain yang melihat keanehan tanpa disertai ibadah, maka penyertaan ibadah tanpa disertai keanehan kedudukannya adalah lebih utama disisi Allah."

5. Ibn Mas'ud ada menyatakan bahawa sesiapa yang bangun malam selama setahun, maka dia akan mendapatkan Lailatulqadar.

- Hikmah Lailtulqadar -

Lailtulqadar adalah malam yang berlaku pada Ramadhan. Malam ini disebutkan dalam dua surah al-Quran iaitu pada surah ad-Dukhan dan al-Qadar. Firman Allah yang bermaksud;

"Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan."

(Surah ad-Dukhan, ayat 3)

Dan firmanNya lagi yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam kemuliaan."

(Surah al-Qadr, ayat 1)

Berdasarkan ayat itu, dapat dilihat malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah S.W.T memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan."

(Surah al-Qadr, ayat 3)

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadith Rasulullah yang dilaporkan oleh Aisyah, malam itu berlaku pada 10 malam ganjil akhir Ramadhan.

Menurut Prof. Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatulqadar adalah supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadhan tanpa menumpukan pada satu malam sahaja. Ini kerana setiap malam pada Ramadhan ia memiliki hikmah dan rahsia tersendiri. Wallahu a'lam bis-sowab.

Penghayatan Ramadhan [5]



ا سلام عليکم ورحمة الله وبرکاته

بسم الله الرحمن الرحيم

- Pengertian Tarawih -

Solat tarawih adalah solat sunat yang dilakukan khusus pada bulan Ramadhan. Ia boleh dikerjakan secara bersendirian tetapi lebih afdhal secara berjemaah. Tarawih dalam bahasa Arab berasal daripada perkataan tarwihah dan jamaknya ialah tarawih. Ia bermaksud waktu bagi istirehat.

- Hukum -

Mengikut imam mazhab yang empat, hukum solat tarawih adalah sunat muakkad iaitu sunat yang dituntuti dan dianjurkan untuk dilakukan.

- Waktu Perlaksanaan -

Ia dilakukan sesudah waktu Isya' sehingga terbit fajar dan disunatkan solat witir selepasnya. Pada zaman Rasulullah dan pemerintahan Abu Bakar As-Siddiq, solat taarwih dilaksanankan pada waktu malam. Ia bukan dinamakan solat tarawih, tetapi dinamakan qiyam Ramadhan (solat malam pada Ramadhan).

- Dalil -

Daripada Aisyah, katanya:

"Sesungguhnya Rasulullah pada suatu malam solat di masjid, lalu para sahabat mengikuti solat beliau. Kemudian beliau solat pada malam berikutnya (malam kedua) dengan diikuti para sahabat yang lebih ramai. Kemudian, para sahabat berkumpul pada malam ketiga atau malam keempat, tetapi Rasulullah tidak keluar. Lalu pada pagi hari Baginda berkata, "Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kalian lakukan dan tidak ada yang mencegahku keluar kepada kalian kecuali aku khuatir akan diwajibkan pada kalian dan (peristiwa) itu terjadi pada bulan Ramadhan."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

- Tatacara -

Cara melakukan solat tarawih adalah bermula dengan dua rakaat dengan satu salam. Solat ini tidak sah tanpa membaca surah al-Fatihah. Kemudian disunatkan untuk membaca ayat atau surah pada setiap rakaat selepas membaca al-Fatihah dan tidak digalakkan melakukan empat rakaat dengan satu salam kecuali mazhab Hanafi.

- Jumlah Rakaat Solat Tarawih -

Ramadhan dan tarawih sudah sinonim bagi orang beribadah. Ramadhan bagaikan tidak lengkap tanpa solat tarawih. Oleh itu, ia menjadi amalan yang dituntut pada bulan Ramadhan.

Namun, ulama berbeza pendapat mengenai jumlah rakaatnya. Ada yang mengatakan 8, 20 dan 36 rakaat.

- Witir -

Solat witir adalah solat ganjil. Ini berdasarkan hadith Rasulullah. Ali bin Abu Talib berkata,

"Rasulullah berkata, "Wahai ahli al-Quran, (solatlah) witir kerana sesungguhnya Allah itu witir (ganjil) dan mengasihi yang witir."

(Riwayat Abu Daud)

- Hukum -

Mengikut pendapat mazhab Hanafi, solat witir hukumnya wajib. Manakala mengikut pendapat imam mazhab yang lain mengatakan hukumnya adalah sunat muakkad. Ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah:

"Rasulullah berkata kepadaku, "Tiga perkara yang harus saya (Abu Hurairah) lakukan adalah solat witir, puasa tiga hari setiap bulan dan solat Dhuha."

(Riwayat at-Tirmizi)

- Jumlah Perlaksanaan dan Jumlah Rakaat -

Solat witir dilakukan selepas solat Isya' hingga masuknya waktu Subuh. Manakala jumlah rakaatnya yang paling sedikit adalah 1 rakaat, kebiasaannya 3 rakaat dan paling banyaka adalah 11 rakaat.

- Tatacara -

Kebiasaannya solat witir dilakukan selepas tarawih atau selepas solat sunat ba'diyah Isya'. Untuk solat sunat witir 3 rakaat, ia boleh dilakukan dengan satu salam atau dua salam. Yang lebih baik adalah jika dilakukan dengan dua salam kerana banyak hadith sohih berbicara tentang hal itu. Ia dilakukan seperti kebanyakan solat sunat yang lain.

Manakala bacaan surah pula berdasarkan hadith yang dilaporkan oleh Abdul Aziz bin Juraij. Ia berkata,

"Kami bertanya kepada Aisyah mengenai solat witir Rasulullah. Aisyah berkata, "Rasulullah membaca pada rakaat pertama dengan surah al-A'la, pada rakaat kedua surah al-Kafirun dan pada rakaat ketiga dengan surah Al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas."

(Riwayat at-Tirmizi)

Walaupun solat witir adalah solat paling akhir antara solat-solat malam, namun tidak mengapa jika dilakukan solat sunat sesudahnya. Ini berdasarkan hadith yang diberitahu Aisyah,

"Sesungguhnya Nabi Muhammad melaksanakan solat dua rakaat sesudah witir dengan duduk."

Apabila sudah dilakukan solat witir, tidak boleh lagi diulangi, berdasarkan hadith,

Daripada Qais bin Talq daripada bapanya berkata, "Aku mendengar Nabi bersabda: "Tidak ada dua witir dalam satu malam."

(Riwayat Abu Daud)

- Tahajjud -

Sembahyang tahajjud atau sembahyang malam adalah sembahyang sunat yang disyariatkan oleh Allah. Sebelum difardhukan sembahyang lima waktu pada malam Israk dan Mikhraj yang jatuh pada malam 27 Rejab, ibadah sembahyang yang menjadi kewajipan kepada Rasulullah dan umatnya pada awal Islam adalah sembahyang malam atau sembahyang tahajjud. Ini berpandukan firman Allah:

"Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu per satu persediaan yang dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka kerjakan."

(Surah as-Sajadah, ayat 17)

Rasulullah s.a.w dan para sahabat tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.

"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajjud sebagai sembahyang tambahan bagimu. Semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat ditempat yang terpuji."

(Surah al-Israk, ayat 79)

Dan Allah telah berfirman:

"Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, seain daripada sedikit masa (yang tidak dapat untuk berehat)."

(Surah al-Muzzammil, ayat 1-2)

Manakala daripada hadith, terdapat banyak rekod mengenai solat tahajjud, antaranya:

Daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah telah bersabda: "Sebaik-baik solat selepas solat fardhu adalah solat malam."

(Riwayat Muslim)

Daripada Abu Umamah al-Bahlili, Rasulullah s.a.w bersabda: "Hendaklah kamu solat malam (tahajjud) kerana sesungguhnya adalah adat orang soleh sebelum kamu, mendekatkan diri kepada Tuhan kamu, menghapuskan dosa-dosa dan menjauhi daripada kemungkaran."

(Riwayat al-Hakim)

- Kelebihan -

Solat malam terdapat banyak kelebihan-kelebihannya. Saidina Umat Al-Khattab menerang kelebihan sembahyang malam dengan berkata, "Sesiapa yang mengerjakan solat malam (tahjjud) dengan khusyuk pasti dianugerahkan Allah sembilan kurniaan, lima di dunia dan empat di akhirat. Kurniaan di dunia adalah:

* Jauh daripada segala penyakit

* Kesan taqwa pada wajahnya

* Dikasihi sekalian mukmin dan seluruh manusia

* Percakapannya mengandungi hikmat

* Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)

Sementara empat perkara di akhirat adalah:

* Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri

* Dipermudahkan hisab

* Melalui titian sirat seperti kilat

* Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan

- Waktunya -

Ia ditunaikan apabila seseorang itu terjaga daripada tidur sementara waktu yang paling sesuai melakukannya adalah pada sepertiga akhir malam iaitu kira-kira dari pukul 2.30 pagi sehingga menjelang subuh.

Banyak hadith-hadith yang membicarakan tentang solat malam ini, antaranya:

Daripada Amru bin Abasah telah bertanya kepada Rasulullah, 'Wahai Rasulullah, malam yang manakah didengari?' Lalu Rasulullah menjawab; "Sepertiga malam yang akhir. Maka solatlah sekiranya kamu mahu."

(Riwayat Abu Daud)

Manakala hadith daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda:

Allah telah berfirman, "Sesiapa yang berdoa kepadaKu maka Aku akan perkenankan doanya, sesiapa yang memohon sesuatu kepadaKu maka Aku akan berikan kepadanya, sesiapa yang memohon ampun kepadaKu maka Aku akan ampunkan dosanya."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

- Bilangan Rakaat -

Para sarjana ilmu feqah bersepakat bahawa rakaat paling sedikit bagi solat tahajjud ialah dua rakaat berdasarkan hadith Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda:

"Apabila salah seorang daripada kamu bangun pada waktu malam, maka hendaklah dia memulakan solatnya dua rakaat yang ringkas."

(Riwayat Muslim)

Namun mereka berselisih pendapat tentang rakaat paling banyak bagi solat tahajjud.

* Mazhab Hanafi: Paling banyak 8 rakaat

* Mazhab Maliki: Paling banyak 10 atau 12 rakaat

* Mazhab Syafie dan Hambali: Tidak ada bilangan khusus

- Petua Bangun Malam -

Ustaz Muhd Syafie, setiausaha penasihat syariah memberikan petua bangun malam selepas tidur, antaranya:

* Tingkatkan keimanan. Ingatlah, sembahyang ini menjadi sesuatu yang berat melainkan bagi hati yang khusyuk. Bagi mendapatkan hati yang khusyuk, perlulah dibina dahulu iman dalam jiwa. Orang yang beriman akan bertambah kuat iman serta keyakinan diri mereka apabila kerap bersembahyang tahajjud.

* Sebelum tidur, sematkan dalam fikiran kita supaya bangun pada sepertiga malam, pukul tiga misalnya bagi sembahyang tahajjud. Insya-Alah pada waktu yang dikehendaki itu kita akan terjaga.

* Jadikannya suatu kebiasaan. Walaupun kita tidur lewat, asalkan bangun pada waktu yang dikehendaki bagi sembahyang tahajjud.

- Solat Tahajjud Dari Sudut Perubatan -

Ada teori yang mengatakan manusia perlu tidur selama 6 sehingga 8 jam sehari. Namun demikian, teori ini ditolak oleh para saintis barat seperti Dr Ray Meddis, seorang professor di Department of Human Sciences, England University of Technology. Beliau mengatakan, "Manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja."

Keperluan tidur hanyalah bagi merehatkan sistem dalam badan dan minda kerana sudah bekerja sebelum ini. Tidur yang banyak boleh melemahkan sistem itu bagi jangka masa panjang.

Mengikut kata-kata Ustaz Ismail bin Said, Allah mencipta udara khas yang diperlukan untuk sistem badan manusia. Udara ini hanya terdapat pada tiga perempat malam atau lebih kurang jam 3 pagi sehingga terbit matahari. Beliau menyarankan supaya udara ini perlu disedut melalui hidung dan dihembuskan melalui mulut. Ia boleh dilakukan seberapa banyak kali yang mungkin. Sebaiknya, ia perlu dijadikan amalan agar sistem dalam badan sentiasa sihat dan dapat menghindari daripada sebarang penyakit.

Pendapat ini disokong oleh Ustaz Sanusi bin Ismail. Namun demikian, beliau menambah supaya udara yang disedut melalui hidung itu, ditahan beberapa saat sebelum dihembuskan melalui mulut. Ia bertujuan supaya udara yang disedut itu dapat meresap ke dalam sistem badan.

Amalan ini hanya boleh dilakukan oleh orang yang sentiasa bangun malam bagi menunaikan solat tahajjud dan sebagainya. Oleh itu, patut bagi kita mengubah minda dan persepsi sebelum ini daripada bertapak dalam fikiran kita lagi. Saranan ini bertepatan dengan ajaran Islam yang memerlukan umatnya bangun pada waktu malam bagi menunaikan solat tahajjud.

Penghayatan Ramadhan [4]



ا سلام عليکم ورحمة الله وبرکاته

بسم الله الرحمن الرحيم

- Adab-Adab Puasa Ramadhan -

Latihan dan pendidikan yang terdapat di dalam Ramadhan tidak akan menghasilkan taqwa melainkan jika adab-adabnya dijaga dan dipelihara. Antara adab-adab itu ialah:

* Bersahur dan melewatkan pengambilannya.

* Bersikap dermawan.

* Bertadarus al-Quran secara konsisten.

* Melaksanakan solat tarawih.

* Beriktikaf terutama pada 10 hari terakhir Ramadhan.

* Mengawal nafsu, perbaiki sikap serta memelihara lidah iaitu kata2.

* Menggalakkan keluarga beramal soleh.

* Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi.

* Menyediakan makanan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa sekalipun hanya dengan beberapa biji tamar atau segelas air.

* Tidak banyak tidur pada siang hari dan makan pada waktu malam.

* Berusaha menjaga anggota tubuh badan dari melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia.

* Melaksanakan tanggungjawab sosial iaitu mengeluarkan zakat fitrah.

* Mengejar Lailatulqadar.

* Meninggalkan perkara yang sia-sia.

- Amalan Yang Menghidupkan Ramadhan -

1. Sedekah

Memperbanyakkan sedekah dan bermurah hati di bulan Ramadhan adalah dituntut. Ibn Abbas melaporkan:

"Rasulullah adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih banyak menderma ketika bulan Ramadhan."

(Riwayat Bukhari)

2. Membaca al-Quran

Disunatkan memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan kerana ianya bulan al-Quran sebagaimana Allah telah berfirman:

"...bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah."

(Surah al-Baqarah ayat 185)

Malaikat Jibril sentiasa bertadarus al-Quran dengan Rasulullah setiap hari pada bulan Ramadhan. Para salaf dahulu juga mendahulukan bacaan al-Quran berbanding ibadah-ibadah lain. Imam Zuhri telah berkata bahawa sesungguhnya Ramadhan itu adalah bulan untuk membaca al-Quran dan menyediakan makanan untuk orang berpuasa."

3. Memberikan makan kepada orang yang berbuka puasa

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Barangsiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya seperti orang yang berpuasa dalam keadaan tidak berkurang sedikit pun dari pahala orang yang berpuasa itu."

(Riwayat Ahmad, At-Tirmizi, Ibn Majah dan ad-Darimi)

4. Qiamullail

Qiamullail ertinya berjaga malam. Disunatkan untuk berjaga malam secara berjemaah pada bulan Ramadhan iaitu untuk solat Tarawih dan waktunya ialah diantara solat Isya' sehinggalah terbitnya fajar. Rasulullah sangat gemar mendirikan solat malam pada bulan Ramadhan. Rasulullah bersabda:

"Barangsiapa menghidupkan Ramadhan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu."

(Riwayat Bukhari)

5. Mengerjakan Umrah

Perkara yang disunatkan pada bulan Ramadhan adalah mengerjakan umrah berdasarkan sabda Rasulullah:

"Umrah pada bulan Ramadhan pahalanya sama dengan pahala mengerjakan Haji atau mengerjakan haji bersamaku."

(Riwayat Bukhari)

6. Zakat Fitrah

Zakat fitrah adalah zakat yang dikeluarkan khusus pada bulan Ramadhan atau paling lewat sebelum selesainya solat sunat Hari Raya. Setiap individu Muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat ini.

7. Iktikaf di Masjid

Antara rangkaian ibadah dalam bulan suci Ramadhan yang dipelihara sekaligus dianjurkan oleh Rasulullah adalah iktikaf. Setiap Muslim disunatkan untuk beriktikaf di masjid, terutama pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan.

- Adab Berbuka Puasa -

Selain adab-adab yang diterangkan diatas, ada juga adab ketika berbuka puasa. Antara adab-adab berbuka puasa ialah:

1. Menyegerakan berbuka apabila masuk waktu.

"Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Berdoa ketika berbuka.

Ini berdasarkan hadith Rasulullah:

"Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka."

(Riwayat Ibn Majah)

3. Berdoa bagi orang yang menjamu kita berbuka.

4. Berbuka puasa dengan tamar atau air.

5. Makan dengan kadar tidak berlebihan ketika berbuka.

6. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan.

Namun begitu, sekiranya makanan sudah dihidangkan, maka makruh meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadith-hadith bagina Rasulullah s.a.w, antaranya:

Apabila sudah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan makan kamu."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Penghayatan Ramadhan [3]



ا سلام عليکم ورحمة الله وبرکاته

بسم الله الرحمن الرحيم

- Kelebihan Ramadhan -

Oleh kerana bulan Ramadhan adalah bulan yang paling mulia berbanding dengan bulan-bulan yang lain, sudah tentu ia mempunyai kelebihan-kelebihan tersendiri, antaranya:

1. Ramadhan adalah penghulu bagi semua bulan.

Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir:

"Penghulu bulan ialah bulan Ramadhan dan pengulu hari ialah hari Jumaat."

2. Dibuka pintu syurga.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah:

"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu."

3. Diampunkan dosa sehingga Ramadhan yang akan datang.

Sebagaimana hadith riwayat Muslim yang dilaporkan oleh Abu Hurairah:

"Solat fardhu lima waktu, Jumaat kepada Jumaat dan Ramadhan kepada Ramadhan, akan diampunkan diantara keduanya sekiranya seseorang itu melakukan dosa-dosa besar."

4. Ganjaran daripada Allah.

Hadith ini diriwayatkan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah telah bersabda:

"Allah telah berfirman: "Setiap amalan anak Adam adalah baginya melainkan puasa dan Aku yang akan membalasnya. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan kegembiraan berjumpa dengan Tuhannya. Dan perubahan bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi disisi Allah berbanding haruman kasturi."

5. Diampunkan dosa terdahulu.

Hadith ini diriwayatkan oleh sebilangan ahli hadith termasuk Bukhari dan Muslim iaitu:

"Sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan dalam keadaan beriman dan ikhlas, diampun dosanya (yang terdahulu)."

6. Diturunkan al-Quran.

Nabi Muhammad SAW telah bersabda: "Diturunkan suhuf Nabi Ibrahim pada awal bulan Ramadhan dan diturunkan Taurat pada 6 Ramadhan dan diturunkan Injil pada 13 Ramadhan dan diturunkan Zabur pada 18 Ramadhan dan diturunkan al-Quran pada 14 Ramadhan."

(al-Mu'jam al-Kabir)

7. Bulan keberkatan.

Ubadah bin Samit melaporkan Rasulullah telah bersabda mengenai hadirnya bulan Ramadhan:

"Datang pada kalian bulan Ramadhan bulan berkat, didalamnya Allah membuka untuk kalian kebaikan-kebaikan, Allah menurunkan rahmatnya, menghapuskan dosa-dosa, mengabulkan dosa, Allah memperhatikan usaha-usaha kalian (berlumba-lumba dalam kebaikan) dan Allah begitu membanggakanmu dihadapan para malaikat."

(Musnad al-Syamiyin al-Tabarani)

8. Malam Lailatulqadar.

Abu Hurairah melaporkan Rasulullah telah bersabda:

"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dan Qiamullail dengan penuh iman dan mengharapkan redha Allah, maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu."

(Riwayat Bukhari)

9. Dibebaskan daripada api neraka.

"Sesungguhnya hamba-hamba Allah dibebaskan (daripada api neraka) setiap waktu berbuka, dan demikian itu pada setiap malam."

(Riwayat Ahmad)

- Faedah Berpuasa -

* Puasa adalah kepatuhan dan ketaatan kepada Allah maka tiada balasan bagi orang yang mengerjakannya kecuali pahala yang melimpah baginya.

* Berpuasa juga dapat melatih diri dalam pelbagai masalah seperti jihad nafsu, melawan gangguan syaitan dan bersabar atas malapetaka yang menimpa.

* Puasa dapat menahan daripada pelbagai 'syurga duniawi', mengajar sifat sabar dalam menghadapi pelbagai situasi serta membolehkan berfikir secara rasional.

* Dengan puasa kita diajar supaya hidup lebih teratur dengan adanya waktu berbuka dan bersahur.

* Berpuasa juga dapat mengeratkan hubungan persaudaraan serta menimbulkan perasaan saling tolong-menolong sesama manusia.
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 ~A Journal of Success~ |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.