Penghayatan Ramadhan [6]



ا سلام عليکم ورحمة الله وبرکاته

بسم الله الرحمن الرحيم

- Lailatulqadar -

Makna Lailatulqadar:

Tentang makna al-Qadar, sebahagian ulama berpendapat ia bermaksud pengagungan. Dapat difahami Lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana diturunkan Al-Quran pada malam itu, turunnya para malaikat, dilimpahi rahmat dan keampunan Allah S.W.T serta Allah S.W.T akan menganugerahkan keagungan kepada mereka yang beribadah pada malam itu.

Al-Qadar juga bermaksud penetapan. Oleh itu, lailatulqadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya. Ini jelas bertentangan dengan tanggapan kebanyakan umat Islam di Malaysia yang beranggapan malam Nisfu Syaaban adalah malam yang mana Allah menetapkan apa yang ditakdirkan untuk kita pada tahun berikutnya.

Mereka berhujah dengan firman Allah S.W.T:

"Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran agar hamba-hamba Kami tidak ditimpa azab. Kami menurunkan Al-Quran pada malam itu kerana pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah serta ketetapan yang bakal berlaku."

Menurut tafsiran Ikrimah, malam yang diberkati dan ditetapkan segala urusan manusia itu adalah malam Nisfu Syaaban. Namun, pendapat ini ditolak kerana nas-nas yang sahih menjelaskan Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan. Malam yang diberkati itu adalah malam Lailatulqadar sebagaimana yang terdapat di dalam surah Al-Qadr.

Al-Hafiz Ibn Kathir ketika mentafsirkan surah ad-Dukhan, ayat 3-4, katanya, "Allah menjelaskan tentang Al-Quran, ia diturunkan pada malam yang penuh berkat iaitu pada malam Al-Qadr sebagaimana kata Allah S.W.T dalam surah Al-Qadr,

"Sesungguhnya Kami menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Al-Qadr."

(Surah al-Qadr, ayat 1)

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa adalah) bulan Ramadhan yang diturunkan Al-Quran padanya.."

(Surah Al-Baqarah, ayat 185)

Pengajaran yang dapat diambil adalah sesiapa yang mengatakan malam yang dimaksudkan (dalam surah ad-Dukhan itu) adalah malam Nisfu Syaaban seperti yang dilaporkan daripada Ikrimah, bererti dia menjauhkan diri daripada pengertian asalnya. Ini kerana, Al-Quran menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan malam yang penuh berkat itu (Lailatulqadar) adalah pada bulan Ramadhan.

(Tafsir Al-Quran Al-Azim, al-Hafiz Ibn Kathir, jilid 4, m/s 137)

Mengikut Quraish Shihab, perkataan Qadar sesuai dengan penggunaannya dalam ayat-ayat al-Quran yang mengandungi tiga maksud iaitu,

1. Penetapan dan pengaturan, sehingga Lailatulqadar difahami sebagai malam penetapan Allah S.W.T bagi perjalanan hidup manusia. Penggunaan Qadar sebagai ketetapan dapat dijumpai pada surah ad-Dukhan ayat 3-5,

"Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). Kami menurunkan al-Quran pada malam itu kerana pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). Iaitu perkara-perkara yang terbitnya daripada hikmat kebijaksanaan Kami, sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus rasul."

2. Kemuliaan. Malam itu adalah malam mulia yang tiada bandingnya. Ia mulia kerana terpilih sebagai malam turunnya al-Quran. Penggunaan Qadar yang merujuk pada kemuliaan dapat dijumpai pada surah al-An'am ayat 91 yang berbicara tentang kaum musyrik,

"Mereka itu tidak memuliakan Allah dengan kemuliaan yang semestinya, ketika mereka berkata Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada masyarakat."

3. Sempit. Malam itu adalah malam yang sempit, kerana banyaknya malaikat yang turun ke bumi, seperti yang ditegaskan dalam surah al-Qadar. Penggunaan Qadar bagi melambangkan kesempitan dapat dijumpai pada surah ar-Ra'd ayat 26,

"Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkannya dan mereka (yang ingkar); Bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia ini tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat."

- Bilakah Berlakunya Lailatulqadar -

Timbul persoalan bila berlaku Lailatulqadar. Ini adalah kerana sekiranya malam itu dapat diketahui saat berlakunya, manusia pasti mahu menggandakan amalam mereka pada malam itu. Ada beberapa petunjuk yang dapat dijadikan pedoman bagi mencari ketibaan malam itu. Diantaranya ialah:

1. Terdapat pendapat yang mengatakan terjadinya malam Lailatulqadar itu pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Hal itu berdasarkan hadith daripada Aisyah yang mengatakan,

"Rasulullah s.a.w beriktikaf pada 10 hari terakhir pada bulan Ramadhan dan beliau telah bersabda, "Carilah malam Lailatulqadar pada malam ganjil iaitu pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Sabda Rasulullah s.a.w,

"Carilah Lailatulqadar pada 10 malam terakhir. Sekiranya seseorang daripada kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia berputus asa mencarinya pada baki tujuh malam terakhir."

(Riwayat Muslim)

3. Daripada Ibn Abbas berkata, "Umar memanggil para sahabat Rasulullah kemudian menanyakan mengenai malam Lailatulqadar kepada mereka, maka mereka sepakat bahawa malam tersebut jatuh pada malam 10 terakhir bukan Ramadhan. Kemudian Ibn Abbas berkata, "Ketika itu aku mengatakan kepada Umar, sesungguhnya aku tahu malam ke berapa." Kemudian Umar bertanya, "Malam keberapa?" Aku menjawab, "Malam ketujuh pertama bulan Ramadhan atau malam ketujuh pada hari 10 terakhir bulan tersebut." Kemudian dia bertanya kembali, "Daripada mana kamu mengetahui hal tersebut?" Maka aku pun menjawab, "Allah menciptakan 7 lapis langit dan 7 lapis bumi, 7 hari dan masa terus beredar dalam 7 putaran, manusia terbentuk dalam 7 bulan, bersujud sebanyak 7 kali, begitu juga dengan tawaf, melontar jamrah dan sebagainya."

Pendapat yang dianggap kuat adalah pendapat yang menyatakan bahawa Lailatulqadar jatuh pada hari-hari ganjil terakhir bulan Ramadhan dan daripada hari ganjil itu terpilih pada malam 27.

Mengikut kitab Matla' al-Badrain wa Majma' al-Bahrain karangan Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani mengatakan Lailatulqadar itu dapat diketahui berdasarkan hari pertama bulan Ramadhan.

* Sekiranya awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau Rabu, maka Lailatulqadar berlaku pada malam ke-29

* Sekiranya awal Ramadhan jatuh pada hari Isnin, maka Lailatulqadar berlaku pada malam ke-21

* Sekiranya awal Ramadhan jatuh pada hari Selasa atau Jumaat, maka Lailatulqadar berlaku pada malam ke-27

* Sekiranya awal Ramadhan jatuh pada hari Khamis, maka Lailatulqadar berlaku pada malam ke-25

* Sekiranya awal Ramadhan jatuh pada hari Sabtu, maka Lailatulqadar berlaku pada malam ke-23

Harus diingat, jangan disebabkan keyakinan pada tanda-tanda ini, kualiti dan kuantiti ibadah kita berkurangan pada malam-malam yang lain. Namun begitu, ianya boleh dijadikan panduan untuk kita mencari dan menentukan bilakah berlakunya Lailatulqadar.

- Tanda-tanda Lailatulqadar -

Berlakunya Lailatulqadar dapat diketahui melalui beberapa tanda. Antaranya:

1. Hadith daripada Zir bin Hubaisy, beliau berkata,

"Aku mendengar Ubay bin Kaab berkata, sesiapa yang bangun pada tengah malam selama satu tahun, dia akan mendapatkan Lailatulqadar. Ayahku berkata, 'Demi Allah, tidak ada Tuhan selain Dia, malam itu terdapat pada bulan Ramadhan. Demi Allah, aku mengetahuinya, tapi malam manakah itu? Malam yang mana Rasulullah memerintahkan kita supaya bangun dan beribadah. Malam itu adalah malam ke-27 yang ditandai dengan terbitnya matahari berwarna putih bersih tidak bercahaya seperti biasanya."

2. Hadith yang dilaporkan oleh Ibn Abbas, "Ketika Lailatulqadar pergi meninggalkan, bumi tidak terasa dingin, tidak juga panas dan matahari terlihat warna merah pudar."

3. Hadith daripada Ahmad, "Pada hari itu tidak terasa panas ataupun dingin, dunia sunyi dan rembulan bersinar."

4. Ibn Munir pula berkata, "Lailatulqadar tidak selamanya harus diiringi keajaiban atau kejadian aneh kerana Allah S.W.T Maha Mulia dan memberikan segala sesuatu sesuai dengan kehendaknya. Sehingga ada yang mendapatkan malam Lailatulqadar hanya dengan beribadah tanpa melihat adanya keanehan dan ada sebahagian lain yang melihat keanehan tanpa disertai ibadah, maka penyertaan ibadah tanpa disertai keanehan kedudukannya adalah lebih utama disisi Allah."

5. Ibn Mas'ud ada menyatakan bahawa sesiapa yang bangun malam selama setahun, maka dia akan mendapatkan Lailatulqadar.

- Hikmah Lailtulqadar -

Lailtulqadar adalah malam yang berlaku pada Ramadhan. Malam ini disebutkan dalam dua surah al-Quran iaitu pada surah ad-Dukhan dan al-Qadar. Firman Allah yang bermaksud;

"Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan."

(Surah ad-Dukhan, ayat 3)

Dan firmanNya lagi yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam kemuliaan."

(Surah al-Qadr, ayat 1)

Berdasarkan ayat itu, dapat dilihat malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah S.W.T memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan."

(Surah al-Qadr, ayat 3)

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadith Rasulullah yang dilaporkan oleh Aisyah, malam itu berlaku pada 10 malam ganjil akhir Ramadhan.

Menurut Prof. Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatulqadar adalah supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadhan tanpa menumpukan pada satu malam sahaja. Ini kerana setiap malam pada Ramadhan ia memiliki hikmah dan rahsia tersendiri. Wallahu a'lam bis-sowab.

0 comments:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 ~A Journal of Success~ |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.