Penghayatan Ramadhan [5]



ا سلام عليکم ورحمة الله وبرکاته

بسم الله الرحمن الرحيم

- Pengertian Tarawih -

Solat tarawih adalah solat sunat yang dilakukan khusus pada bulan Ramadhan. Ia boleh dikerjakan secara bersendirian tetapi lebih afdhal secara berjemaah. Tarawih dalam bahasa Arab berasal daripada perkataan tarwihah dan jamaknya ialah tarawih. Ia bermaksud waktu bagi istirehat.

- Hukum -

Mengikut imam mazhab yang empat, hukum solat tarawih adalah sunat muakkad iaitu sunat yang dituntuti dan dianjurkan untuk dilakukan.

- Waktu Perlaksanaan -

Ia dilakukan sesudah waktu Isya' sehingga terbit fajar dan disunatkan solat witir selepasnya. Pada zaman Rasulullah dan pemerintahan Abu Bakar As-Siddiq, solat taarwih dilaksanankan pada waktu malam. Ia bukan dinamakan solat tarawih, tetapi dinamakan qiyam Ramadhan (solat malam pada Ramadhan).

- Dalil -

Daripada Aisyah, katanya:

"Sesungguhnya Rasulullah pada suatu malam solat di masjid, lalu para sahabat mengikuti solat beliau. Kemudian beliau solat pada malam berikutnya (malam kedua) dengan diikuti para sahabat yang lebih ramai. Kemudian, para sahabat berkumpul pada malam ketiga atau malam keempat, tetapi Rasulullah tidak keluar. Lalu pada pagi hari Baginda berkata, "Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kalian lakukan dan tidak ada yang mencegahku keluar kepada kalian kecuali aku khuatir akan diwajibkan pada kalian dan (peristiwa) itu terjadi pada bulan Ramadhan."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

- Tatacara -

Cara melakukan solat tarawih adalah bermula dengan dua rakaat dengan satu salam. Solat ini tidak sah tanpa membaca surah al-Fatihah. Kemudian disunatkan untuk membaca ayat atau surah pada setiap rakaat selepas membaca al-Fatihah dan tidak digalakkan melakukan empat rakaat dengan satu salam kecuali mazhab Hanafi.

- Jumlah Rakaat Solat Tarawih -

Ramadhan dan tarawih sudah sinonim bagi orang beribadah. Ramadhan bagaikan tidak lengkap tanpa solat tarawih. Oleh itu, ia menjadi amalan yang dituntut pada bulan Ramadhan.

Namun, ulama berbeza pendapat mengenai jumlah rakaatnya. Ada yang mengatakan 8, 20 dan 36 rakaat.

- Witir -

Solat witir adalah solat ganjil. Ini berdasarkan hadith Rasulullah. Ali bin Abu Talib berkata,

"Rasulullah berkata, "Wahai ahli al-Quran, (solatlah) witir kerana sesungguhnya Allah itu witir (ganjil) dan mengasihi yang witir."

(Riwayat Abu Daud)

- Hukum -

Mengikut pendapat mazhab Hanafi, solat witir hukumnya wajib. Manakala mengikut pendapat imam mazhab yang lain mengatakan hukumnya adalah sunat muakkad. Ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah:

"Rasulullah berkata kepadaku, "Tiga perkara yang harus saya (Abu Hurairah) lakukan adalah solat witir, puasa tiga hari setiap bulan dan solat Dhuha."

(Riwayat at-Tirmizi)

- Jumlah Perlaksanaan dan Jumlah Rakaat -

Solat witir dilakukan selepas solat Isya' hingga masuknya waktu Subuh. Manakala jumlah rakaatnya yang paling sedikit adalah 1 rakaat, kebiasaannya 3 rakaat dan paling banyaka adalah 11 rakaat.

- Tatacara -

Kebiasaannya solat witir dilakukan selepas tarawih atau selepas solat sunat ba'diyah Isya'. Untuk solat sunat witir 3 rakaat, ia boleh dilakukan dengan satu salam atau dua salam. Yang lebih baik adalah jika dilakukan dengan dua salam kerana banyak hadith sohih berbicara tentang hal itu. Ia dilakukan seperti kebanyakan solat sunat yang lain.

Manakala bacaan surah pula berdasarkan hadith yang dilaporkan oleh Abdul Aziz bin Juraij. Ia berkata,

"Kami bertanya kepada Aisyah mengenai solat witir Rasulullah. Aisyah berkata, "Rasulullah membaca pada rakaat pertama dengan surah al-A'la, pada rakaat kedua surah al-Kafirun dan pada rakaat ketiga dengan surah Al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas."

(Riwayat at-Tirmizi)

Walaupun solat witir adalah solat paling akhir antara solat-solat malam, namun tidak mengapa jika dilakukan solat sunat sesudahnya. Ini berdasarkan hadith yang diberitahu Aisyah,

"Sesungguhnya Nabi Muhammad melaksanakan solat dua rakaat sesudah witir dengan duduk."

Apabila sudah dilakukan solat witir, tidak boleh lagi diulangi, berdasarkan hadith,

Daripada Qais bin Talq daripada bapanya berkata, "Aku mendengar Nabi bersabda: "Tidak ada dua witir dalam satu malam."

(Riwayat Abu Daud)

- Tahajjud -

Sembahyang tahajjud atau sembahyang malam adalah sembahyang sunat yang disyariatkan oleh Allah. Sebelum difardhukan sembahyang lima waktu pada malam Israk dan Mikhraj yang jatuh pada malam 27 Rejab, ibadah sembahyang yang menjadi kewajipan kepada Rasulullah dan umatnya pada awal Islam adalah sembahyang malam atau sembahyang tahajjud. Ini berpandukan firman Allah:

"Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu per satu persediaan yang dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka kerjakan."

(Surah as-Sajadah, ayat 17)

Rasulullah s.a.w dan para sahabat tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.

"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajjud sebagai sembahyang tambahan bagimu. Semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat ditempat yang terpuji."

(Surah al-Israk, ayat 79)

Dan Allah telah berfirman:

"Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, seain daripada sedikit masa (yang tidak dapat untuk berehat)."

(Surah al-Muzzammil, ayat 1-2)

Manakala daripada hadith, terdapat banyak rekod mengenai solat tahajjud, antaranya:

Daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah telah bersabda: "Sebaik-baik solat selepas solat fardhu adalah solat malam."

(Riwayat Muslim)

Daripada Abu Umamah al-Bahlili, Rasulullah s.a.w bersabda: "Hendaklah kamu solat malam (tahajjud) kerana sesungguhnya adalah adat orang soleh sebelum kamu, mendekatkan diri kepada Tuhan kamu, menghapuskan dosa-dosa dan menjauhi daripada kemungkaran."

(Riwayat al-Hakim)

- Kelebihan -

Solat malam terdapat banyak kelebihan-kelebihannya. Saidina Umat Al-Khattab menerang kelebihan sembahyang malam dengan berkata, "Sesiapa yang mengerjakan solat malam (tahjjud) dengan khusyuk pasti dianugerahkan Allah sembilan kurniaan, lima di dunia dan empat di akhirat. Kurniaan di dunia adalah:

* Jauh daripada segala penyakit

* Kesan taqwa pada wajahnya

* Dikasihi sekalian mukmin dan seluruh manusia

* Percakapannya mengandungi hikmat

* Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)

Sementara empat perkara di akhirat adalah:

* Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri

* Dipermudahkan hisab

* Melalui titian sirat seperti kilat

* Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan

- Waktunya -

Ia ditunaikan apabila seseorang itu terjaga daripada tidur sementara waktu yang paling sesuai melakukannya adalah pada sepertiga akhir malam iaitu kira-kira dari pukul 2.30 pagi sehingga menjelang subuh.

Banyak hadith-hadith yang membicarakan tentang solat malam ini, antaranya:

Daripada Amru bin Abasah telah bertanya kepada Rasulullah, 'Wahai Rasulullah, malam yang manakah didengari?' Lalu Rasulullah menjawab; "Sepertiga malam yang akhir. Maka solatlah sekiranya kamu mahu."

(Riwayat Abu Daud)

Manakala hadith daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda:

Allah telah berfirman, "Sesiapa yang berdoa kepadaKu maka Aku akan perkenankan doanya, sesiapa yang memohon sesuatu kepadaKu maka Aku akan berikan kepadanya, sesiapa yang memohon ampun kepadaKu maka Aku akan ampunkan dosanya."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

- Bilangan Rakaat -

Para sarjana ilmu feqah bersepakat bahawa rakaat paling sedikit bagi solat tahajjud ialah dua rakaat berdasarkan hadith Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda:

"Apabila salah seorang daripada kamu bangun pada waktu malam, maka hendaklah dia memulakan solatnya dua rakaat yang ringkas."

(Riwayat Muslim)

Namun mereka berselisih pendapat tentang rakaat paling banyak bagi solat tahajjud.

* Mazhab Hanafi: Paling banyak 8 rakaat

* Mazhab Maliki: Paling banyak 10 atau 12 rakaat

* Mazhab Syafie dan Hambali: Tidak ada bilangan khusus

- Petua Bangun Malam -

Ustaz Muhd Syafie, setiausaha penasihat syariah memberikan petua bangun malam selepas tidur, antaranya:

* Tingkatkan keimanan. Ingatlah, sembahyang ini menjadi sesuatu yang berat melainkan bagi hati yang khusyuk. Bagi mendapatkan hati yang khusyuk, perlulah dibina dahulu iman dalam jiwa. Orang yang beriman akan bertambah kuat iman serta keyakinan diri mereka apabila kerap bersembahyang tahajjud.

* Sebelum tidur, sematkan dalam fikiran kita supaya bangun pada sepertiga malam, pukul tiga misalnya bagi sembahyang tahajjud. Insya-Alah pada waktu yang dikehendaki itu kita akan terjaga.

* Jadikannya suatu kebiasaan. Walaupun kita tidur lewat, asalkan bangun pada waktu yang dikehendaki bagi sembahyang tahajjud.

- Solat Tahajjud Dari Sudut Perubatan -

Ada teori yang mengatakan manusia perlu tidur selama 6 sehingga 8 jam sehari. Namun demikian, teori ini ditolak oleh para saintis barat seperti Dr Ray Meddis, seorang professor di Department of Human Sciences, England University of Technology. Beliau mengatakan, "Manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja."

Keperluan tidur hanyalah bagi merehatkan sistem dalam badan dan minda kerana sudah bekerja sebelum ini. Tidur yang banyak boleh melemahkan sistem itu bagi jangka masa panjang.

Mengikut kata-kata Ustaz Ismail bin Said, Allah mencipta udara khas yang diperlukan untuk sistem badan manusia. Udara ini hanya terdapat pada tiga perempat malam atau lebih kurang jam 3 pagi sehingga terbit matahari. Beliau menyarankan supaya udara ini perlu disedut melalui hidung dan dihembuskan melalui mulut. Ia boleh dilakukan seberapa banyak kali yang mungkin. Sebaiknya, ia perlu dijadikan amalan agar sistem dalam badan sentiasa sihat dan dapat menghindari daripada sebarang penyakit.

Pendapat ini disokong oleh Ustaz Sanusi bin Ismail. Namun demikian, beliau menambah supaya udara yang disedut melalui hidung itu, ditahan beberapa saat sebelum dihembuskan melalui mulut. Ia bertujuan supaya udara yang disedut itu dapat meresap ke dalam sistem badan.

Amalan ini hanya boleh dilakukan oleh orang yang sentiasa bangun malam bagi menunaikan solat tahajjud dan sebagainya. Oleh itu, patut bagi kita mengubah minda dan persepsi sebelum ini daripada bertapak dalam fikiran kita lagi. Saranan ini bertepatan dengan ajaran Islam yang memerlukan umatnya bangun pada waktu malam bagi menunaikan solat tahajjud.

0 comments:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 ~A Journal of Success~ |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.